Tun Mahathir, isteri kembali berbasikal di Putrajaya

SHAH ALAM - Selepas sekian lama tidak berkongsi perkembangan beriadah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali meluangkan masa mengayuh basikal di sekitar Tasik Putrajaya pada Sabtu.
Menerusi rakaman video yang dikongsi pembaca kepada Sinar Harian pada Sabtu, Dr Mahathir masih kuat berbasikal walaupun umurnya kini hampir mencecah 100 tahun.

Pada November lalu, Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, akibat mengalami jangkitan saluran pernafasan.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya pada 20 Februari 2022 berkata, Dr Mahathir berpeluang untuk melakukan aktiviti kegemarannya iaitu mengayuh basikal selepas beberapa bulan tidak melakukan aktiviti tersebut.

Beliau memilih Tasik Putrajaya kerana landskap tasik yang diinspirasi daripada Lake Como di Itali dengan perumahan di sekitarnya mengindahkan suasana.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut berkongsi kegembiraan dan mengucapkan tahniah kepada orang ramai yang sering mengamalkan gaya hidup sihat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!