PGA rampas RM23.3 juta barang seludup

Sebahagian barangan seludup dirampas dan beberapa PATI ditahan.
Sebahagian barangan seludup dirampas dan beberapa PATI ditahan.
A
A
A

KLUANG – Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam, telah berjaya merampas barangan seludup berjumlah lebih RM23 juta dalam Ops Taring Nyah 1 Johor dan Selangor pada 2024.

Menurut Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari selain rampasan berkenaan, pihak Batalion 5 PGA juga menahan seramai 262 suspek di sepanjang operasi tersebut.

Malah katanya, Ops Taring Nyah 1 dijalankan sepanjang pantai barat semenanjung bermula dari Selangor hingga ke Johor memberikan fokus mengawal persisiran pantai daripada ancaman penyeludupan, pendatang asing tanpa izin (PATI), kontraban dan jenayah rentas sempadan.

“Kita juga melakukan beberapa tangkapan dan rampasan sepanjang tahun lalu dan ini merupakan sebahagian usaha berterusan bagi mengekang jenayah terancang, penyeludupan dan aktiviti haram yang meresahkan masyarakat.

“Selain itu, seramai 262 suspek telah ditahan dengan pecahan jantina iaitu lelaki dewasa seramai 240 orang manakala wanita dewasa 22 orang atas pelbagai kesalahan dan 80 kes penyeludupan dengan nilai rampasan keseluruhan RM23,344,561," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Hakemal
Hakemal

Sementara itu, Hakemal berkata, kejayaan terbesar dalam operasi berkenaan adalah tangkapan dan rampasan di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan melibatkan keseluruhan nilai rampasan rokok seludup berjumlah RM2,559,500.

Malah katanya, satu lagi kejayaan besar yang juga melibatkan Akta Kastam 1967 adalah di Setia Indah, Johor Bahru dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM1,657,716.

“Sepanjang Januari tahun ini sahaja sudah ada tiga tangkapan dan rampasan melibatkan Akta Atipsom 2007 dan Akta 582 Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 masing-masing bernilai RM16,019 dan RM1,017,560.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, saya menyeru orang ramai untuk terus memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dan tampil menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah penyeludupan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!