Selangor sasar simpan dana RM300 juta dalam TAWAS

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyasarkan untuk menyimpan dana sehingga RM300 juta dalam tempoh 10 tahun melalui Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari berkata, suntikan dana ke dalam tabung berkenaan bakal bermula pada 2026 sebagai kumpulan pertama simpanan.
"Kita ada komitmen besar lagi pada masa depan dalam memastikan pembayaran tabung ini yang mana kita akan mulakan kumpulan pertama pada 2026.
"Kita perlukan satu dana yang besar. Selama 10 tahun, kita akan dapat lebih kurang RM200 hingga RM300 juta.
“Ini sebahagian daripada komitmen yang akan kita lunaskan mulai 2026 dan mungkin sedang lihat keperluan tambahan bergantung kepada keperluan semasa yang boleh dimuktamadkan bulan Mei atau Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Wanita Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Isnin.
Untuk rekod, TAWAS telah diperkenalkan pada Jun 2008 dan ia merupakan satu program kebajikan yang berkonsepkan tabungan.
Program tersebut disasarkan kepada bayi Selangor yang lahir bermula 1 Januari 2008 dengan perlu memenuhi salah satu daripada syarat-syarat pendaftaran TAWAS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

