Harap ‘wishlist’ Kedah tersenarai dalam RMK13 - Sanusi

Muhammad Sanusi ketika berucap pada sesi libat urus RMK13 di Dewan Seri Mentaloon pada Isnin.
Muhammad Sanusi ketika berucap pada sesi libat urus RMK13 di Dewan Seri Mentaloon pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap senarai hajat yang mengandungi permohonan pembangunan negeri kepada kerajaan Persekutuan tersenarai dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Beliau berkata, ‘wishlist’ berkenaan telah disampaikan kepada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk dipertimbangkan khususnya membabitkan menaiktaraf infrastruktur yang dilihat masih di tahap kurang memuaskan.

Menurutnya, ia penting untuk meletakkan Kedah sebaris negeri-negeri lain yang sudah maju terutamanya di Lembah Klang.

“Saya harap beliau pertimbangkan cadangan projek-projek 'wishlist' Kedah dalam RMK13.

“Antaranya bina jalan baharu dan laluan bertingkat, naik taraf jalan dan bangunan, membina jambatan baharu dan klinik kesihatan dan beberapa lagi projek yang menjadi keperluan rakyat,” katanya ketika berucap pada sesi libat urus RMK13 bagi negeri Kedah di Seri Mentaloon yang disempurnakan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pertanian berteknologi terkini sepenuhnya atau ‘smart farming’ bagi meningkatkan sumber makanan tempatan dan mengurangkan import makanan.

“Kita tiada pilihan selain jayakan smart farming kerana dunia sedang beranjak kepada kekurangan sumber makanan berbanding pertambahan populasi yang sangat besar, jika tidak ditangani mencetuskan masalah kelangsungan hidup pada masa akan datang.

“Usaha-usaha ke arah keterjaminan makanan perlu ditangani dan memerlukan komitmen dan kolaborasi semua pihak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, persaingan guna tanah untuk pembangunan juga sengit selain fenomena perubahan iklim yang mengancam tanaman.

“Saya harap agenda ini mendapat perhatian bawah RMK13. Inisiatif ini akan dapat direalisasikan melalui penambahbaikan infrastruktur pengairan dan saliran, penggunaan teknologi dalam pertanian, pengembangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih serta pemerkasaan modal insan petani muda.

“Pemerkasaan tanah-tanah milikan agensi bagi pertanian secara keseluruhan juga perlu diberi perhatian kerana ia memberi sumbangan besar dalam memastikan keterjaminan makanan pada masa akan datang,” jelasnya.

Muhammad Sanusi berkata, negara perlu mengurangkan kebergantungan pada sumber makanan yang diimport.

“Pelaksanaan tanaman padi lima kali dalam dua tahun dapat meningkatkan pengeluaran padi sebanyak 25 peratus berbanding pengeluaran sekarang.

“Jika usaha ini direalisasikan akan meningkatkan pengeluaran padi Kedah kepada 1.25 juta tan metrik setiap tahun tanpa perlu kepada perluasan kawasan tanaman baharu,” jelasnya.

Beliau berkata, peranan kawasan luar jelapang juga tidak seharusnya diketepikan dan ia turut memerlukan infrastrukur pengairan yang baik.

“Kawasan luar jelapang menyumbang lebih lapan peratus daripada keseluruhan 43 peratus sumbangan Kedah untuk memenuhi keperluan beras negara,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah menunjukkan peningkatan positif terutamanya dari aspek pelaburan dan pertumbuhan ekonomi sejak tahun 2021.

“Kedah catatkan peningkatan pertumbuhan ekonomi kepada 1.6 peratus pada tahun 2023 dengan nilai ditambah RM51.8 bilion berbanding RM 51.0 bilion pada tahun sebelumnya.

“Sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan menyumbang 85.4 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kesar (KDNK) Kedah. Sektor pembuatan dan pertanian masing-masing menyumbang 29.2 peratus dan 10.7 peratus,” katanya.

Menurutnya, pencapaian ini perlu dipertingkatkan ke tahap lebih baik berikutan Kedah berhasrat meningkatkan peratusan sumbangan negeri kepada KDNK negara kepada peratusan lebih tinggi dengan sasaran 10 peratus agar setaraf negeri maju.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!