Pahang berjaya tingkat hasil tanpa pinjam Kerajaan Persekutuan

Wan Rosdy ketika sesi TownHall Rakyat di Dewan Karangkraf di sini, pada Jumaat.
Wan Rosdy ketika sesi TownHall Rakyat di Dewan Karangkraf di sini, pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Negeri Pahang pernah berdepan masalah kedudukan kewangan kronik apabila dana yang ada hanya mampu membayar gaji penjawat awam untuk tempoh tiga bulan sahaja.

Keadaan tersebut berlaku dalam tempoh 22 bulan Negeri Pahang menjadi pembangkang selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan sejarah perubahan tampuk kepimpinan negara.

Bagaimanapun, ia dapat diatasi apabila pentadbiran di bawah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berjaya meningkatkan hasil tanpa sebarang bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut Wan Rosdy, beliau bersama barisan kepimpinan Pahang ketika itu memperoleh formula untuk meningkatkan hasil negeri antaranya dengan menaikkan cukai tanah dan cukai balak.

"Pengalaman 22 bulan dan pertama kali Pahang menjadi negeri pembangkang sudah tentu berasa sedikit tertekan.

"Saya tidak sanggup jumpa menteri kewangan (ketika itu) kalau sekiranya kita hadapi masalah kewangan untuk bayar gaji, kerana saya ada maruah.

"Oleh itu, kita mesti berdikari. Tapi nak dapatkan hasil, halangannya tidak boleh menyusahkan rakyat," katanya ketika sesi TownHall Rakyat di Dewan Karangkraf di sini, pada Jumaat.

Kenaikan kadar cukai tanah dikecualikan bagi pemilik tanah bawah 4.047 hektar, dan 16.188 hektar bagi pemilik tanah ladang.

Artikel Berkaitan:

Jelas Wan Rosdy, kenaikan cukai dibuat dengan mengkaji perbandingan kadar cukai negeri lain.

"Sebab sebelum itu, cukai tanah tak dinaikkan selama 26 tahun, begitu juga cukai balak, 30 tahun tak pernah dinaikkan...tapi kita naikkan selepas buat kajian perbandingan dengan negeri-negeri lain yang kadarnya lebih tinggi daripada Pahang (selepas dinaikkan).

"Daripada situ dapat menjana keuntungan, akhirnya kita boleh berdikari selama 22 bulan menjadi pembangkang, tidak meminjam satu sen pun daripada kerajaan pusat,"katanya.

Untuk rekod, selepas tempoh tersebut, Negeri Pahang terus mencatatkan hasil yang memberangsangkan tahun demi tahun.

Kutipan hasil 2024 mencatatkan sebanyak RM1.144 bilion melebihi sasaran yang ditetapkan RM1.137 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!