Pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar Perak bukan jaminan jadi calon PRU16

Khairul Azwan
Khairul Azwan
A
A
A

PASIR SALAK - Pelantikan pemimpin parti Kerajaan sebagai Pegawai Khas Menteri Besar Perak awal tahun ini bukanlah jaminan untuk dinamakan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.

Pegawai Khas Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah, Khairul Azwan Harun berkata, pendekatan baharu Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad itu bertujuan bagi melancarkan pentadbiran kerajaan negeri di 26 kawasan yang diwakili pembangkang.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa jawatan itu bukanlah jaminan dirinya terpilih menjadi calon bagi mana-mana kerusi.

"Fokus tugas ini adalah menggalas amanah dan tanggungjawab untuk bantu beliau (Saarani) menguruskan hal ehwal Pejabat Menteri Besar dan membantu melicinkan pentadbiran kampung dan rakyat.

"Apatah lagi pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan pembangkang memerlukan saluran lebih efektif, tidak boleh melalui wakil rakyat pembangkang.

"Jadi urusan pejabat menteri besar dan kerajaan negeri dapat diurus dengan baik serta proses berjalan lancar kerana sudah ada perwakilan di kawasan DUN terlibat, itu sahaja. Bukanlah polemik politik baharu bahawa mereka ini jadi calon pilihan raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan majlis Multaqa Pegawai Masjid peringkat Parlimen Pasir Salak 2025 di Dewan Pulau Gajah, Kampung Gajah di sini pada Isnin.

Sinar Harian melaporkan pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar Perak dilihat memberi gambaran kesediaan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga PRU16.

Daripada 26 individu itu, seramai 18 orang merupakan pemimpin akar umbi dalam kalangan UMNO, diikuti Amanah (empat), PKR (tiga) dan DAP, hanya seorang.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai keputusan menarik semula penggantungan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Khairul Azwan berkata, keputusan MKT itu dapat membantu pimpinan parti di pusat, negeri dan bahagian untuk kuatkan parti.

"Yang penting siapa sahaja yang diterima semula menjadi ahli pertamanya perlu kekalkan disiplin dan terus ikhlas dalam membantu pimpinan parti, negeri dan bahagian dalam menguatkan parti.

"Selebih daripadanya terserah kepada pucuk pimpinan. Saya di Bahagian Pasir Salak ini sangat fokus dalam memastikan dua kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen, kita boleh menang semula," katanya.

Sebelum ini, Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 25 November lalu menarik balik penggantungan keahlian Tajuddin sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!