Isu sandwic 'ham': Beri ruang pihak berkuasa siasat - KPDN

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung penyalahgunaan logo halal membabitkan produk sandwic di salah satu premis rangkaian kedai runcit.
Tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, segala siasatan perlu mengikut proses yang sepatutnya.
"Jangan ganggu siasatan, jangan beri tekanan dan jangan buat spekulasi.
"Biarkan siasatan mengenai produk sandwic ini dilakukan mengikut undang-undang," katanya menerusi sidang akhbar selepas menyampaikan perutusan hala tuju kementerian bagi tahun 2025, di sini pada Isnin.
Menurutnya, tindakan undang-undang merupakan platform terbaik selepas siasatan selesai.
“Jika ada kes, pendakwaan akan sebut (tuduh) kerana ada kes tertentu bila dibawa ke mahkamah ada isu teknikal,” jelas Armizan.
Beliau menjelaskan, pihaknya belum menerima keputusan sampel produk sandwic ham dan keju yang dihantar ke Jabatan Kimia.
"Saya belum terima dan tiada keperluan untuk keputusan tersebut diserahkan kepada saya.
"Saya percaya kita perlu memberi ruang agar siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh sehingga dilengkapkan," katanya.
Minggu lalu, sampel produk sandwic ham dan keju yang didapati menyalah guna logo halal, telah dihantar ke makmal untuk dianalisa bagi mendapatkan laporan status ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Ujian itu dibuat bertujuan mengesan sama ada terdapat DNA babi dalam produk makanan berkenaan atau sebaliknya.
Terdahulu, Universiti Malaya (UM) mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic yang diragui status halalnya.
Berikutan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan sandwic ham dan keju dijual di kedai serbaneka di UM tidak mempunyai sijil pengesahan halal Malaysia.
Tindakan syarikat yang mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Selain itu, kata Armizan, Konsep Payung Rahmah Madani diperkasa tahun ini dengan memperkenalkan Servis Ihsan MADANI@ Petronas AutoExpert (SIM@PAX) pada setiap musim perayaan utama negara ini.
Ia merupakan inisiatif kerjasama bersama Petronas demi membantu golongan pendapatan rendah dengan mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan.
Program tersebut menawarkan pakej penyelenggaraan kereta di 130 bengkel Petronas AutoExpert seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Pelaksanaan pertama SIM@PAX ini akan bermula 24 hingga 28 Januari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina di 95 pusat bengkel Petronas AutoExpert seluruh negara," kata Armizan.
Menurut beliau, SIM@ PAX yang kini dimulakan sebagai projek rintis menawarkan pengurangan harga minyak pelincir jenis mineral dan semi sintetik pada harga istimewa antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
Orang ramai boleh membuat temu janji sebelum hadir ke bengkel PETRONAS AutoExpert melalui aplikasi Setel.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

