KK Super Mart perlu segera semak, tetap SOP pembelian dalaman syarikat

SHAH ALAM - Kedai serbaneka KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) perlu segera menyemak semula mekanisme pembelian dalaman syarikat termasuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP).
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung berkata, tindakan membekukan semua urusan perniagaan dengan pembekal tidak memadai kerana syarikat itu seharusnya menunjukkan teladan dan mempunyai tanggungjawab sosial.
“Sebagai sebuah kedai serbaneka yang memiliki rantaian yang besar dan terkenal, seharusnya KK Super Mart mengambil pengajaran dan mengetatkan kawalan dalaman mereka untuk menjaga sensitiviti pelanggan pelbagai latar belakang.
“Insiden penjualan ‘sandwich ham and cheese’ yang mana sijil halalnya sudah lupus adalah satu perkara yang mendukacitakan apatah lagi ia berlaku kurang setahun selepas peristiwa stoking berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penggantungan serta-merta urus niaga KK Super Mart dengan syarikat pengeluar ‘sandwich ham and cheese’ susulan penemuan produk yang diragui status halal.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, produk makanan itu dikilangkan dan diusahakan oleh syarikat terbabit telah dipasarkan kepada pelanggan melalui beberapa platform perniagaan antaranya rangkaian KK Concept Store.
Tambah Chean Chung, tindakan cuai segelintir pengusaha tempatan itu boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai peneraju industri halal yang telah mengekalkan kedudukan di tangga pertama untuk tahun ke-10 dalam State of the Global Islamic Economy (SGIE).
“Malaysia selalu berusaha mengembangkan industri halal yang dikagumi sedunia dan pengiktirafan tersebut makin diterima pakai oleh pengusaha serta pelabur antarabangsa.
“Sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disasarkan sebanyak 8.1 peratus bersamaan RM137.6 bilion pada tahun 2025 dan meningkat 10.8 peratus bersamaan RM260 bilion untuk tahun 2030.
“Pada tahun 2022, saiz pasaran asas industri halal global ialah RM9.91 trilion manakala saiz pasaran potensi industri halal global ialah RM41.91 trilion,” katanya.
TAMAT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

