Isu halal haram bukan boleh dibuat main
SOAL halal dan haram adalah isu yang cukup besar bagi orang Islam. Ayat mudahnya, ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main, bukan saja Islam di Malaysia tapi satu dunia.
Oleh sebab itulah setiap kali timbulnya isu penipuan halal pada produk makanan, ia boleh mengundang kemarahan ramai dan menggugat keharmonian negara kita.
Begitu juga apabila adanya kes kilang memproses ayam yang kononnya melakukan tatacara penyembelihan seperti mana disyariatkan Islam, tetapi sebenarnya tidak.
Itu belum lagi restoran yang menampal logo halal pada premis mereka bagi menarik pelanggan Muslim, tetapi sebenarnya tidak mendapat perakuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Semestinya mana-mana orang Islam yang sensitif tidak akan berdiam diri kerana merasakan diri telah 'dikhianati'.
Ia samalah dengan cerita sandwich ham and cheese baru-baru ini yang disahkan Jakim tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tetapi 'jahatnya' ditampal logo halal.
Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh bersuara lantang berhubung isu tersebut tentunya adalah responsnya sebagai orang Islam bukan atas kapasiti sebagai orang politik.
Malah sesiapa pun berhak bersuara dalam soal itu ditambah pula ia adalah hak setiap pengguna.
Tindakan pihak syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan adalah suatu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730], iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Ia jelas menunjukkan bahawa soal halal memang isu besar kepada orang Islam apabila ada peruntukan undang-undang terhadap kesalahan berkenaan.
Tidak bermakna apabila ada yang bersuara, mempersoal dan membuat desakan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas mengenai apa yang berlaku, adalah mereka yang sengaja mahu cari pasal.
Namun tindakan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong memberi respons di atas kelantangan Akmal berhubung perkara berkenaan dengan mengingatkan Akmal agar tidak bertindak sebagai batu api untuk memecahbelahkan masyarakat, sebenarnya boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jack Seng pula dilaporkan berkata, Akmal sepatutnya mengelak daripada mempolitikkan isu berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menanganinya tanpa melibatkan campur tangan pemimpin politik.
Adalah lebih baik isu tersebut tidak lagi disentuh oleh orang bukan Islam kerana dibimbangi boleh mengundang ketidakharmonian antara kaum di negara ini.
Hakikatnya, mana-mana kaum pun tidak suka apabila agama mereka dipermainkan atau ada sesiapa yang tidak menghormatinya.
Pastinya akan timbul perasaan marah dan kecewa sekiranya agama dan kepercayaan mereka 'dipijak-pijak'.
Oleh sebab itulah, betapa pentingnya setiap daripada rakyat di negara ini memahami serta menghormati agama dan budaya setiap kaum yang juga menjadi asas perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.
Ia juga bagi menanam rasa sensitif dalam diri terhadap antara satu sama lain sekali gus mengelakkan timbulnya perpecahan.
Selepas 67 tahun merdeka, soal halal sepatutnya tidak lagi menjadi bahan permainan oleh mana-mana pihak.
Masing-masing sepatutnya tahu apa yang menjadi sensitiviti orang Islam. Ia ditambah pula agama Islam merupakan agama rasmi negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jadi janganlah memperjudikan rasa kepercayaan yang telah terbina sekian lama antara berbilang kaum dengan isu-isu begini kerana dibimbangi boleh memakan diri dan memusnahkan keharmonian.
* Syamilah Zulkifli ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

