Fenomena air pasang dan ombak besar berakhir, PPS di Terengganu ditutup

Keadaan beberapa rumah penduduk yang separuh roboh susulan fenomena ombak besar yang berlaku ketika tinjauan di Kampung Cacar Lama, Dungun pada 14 Januari lalu - Foto: Bernama
Keadaan beberapa rumah penduduk yang separuh roboh susulan fenomena ombak besar yang berlaku ketika tinjauan di Kampung Cacar Lama, Dungun pada 14 Januari lalu - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Episod ombak besar yang melanda Terengganu sejak 11 Jan lepas berakhir dengan kesemua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) telah pulang ke kediaman masing-masing hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan PPS terakhir, iaitu Balai Raya JPKK Bandar Paka yang dibuka pada 12 Januari, ditutup kira-kira jam 8 malam ini.

Menurut JPBNT, sebanyak 299 mangsa daripada 78 keluarga di daerah Kemaman dan Dungun terpaksa berlindung di tiga PPS, iaitu Dewan Serbaguna Kuala Kemaman, Balai Raya Kampung Geliga Pantai dan Balai Raya JPKK Bandar Paka susulan kejadian air pasang dan ombak besar yang melebihi ketinggian tiga meter.

Fenomena itu juga menyebabkan kediaman lima keluarga di daerah Kemaman dan 14 keluarga di daerah Dungun rosak teruk dan runtuh.

Di daerah Kuala Nerus pula, beberapa peniaga kerugian puluhan ribu ringgit apabila premis kedai rosak teruk dan runtuh ditelan ombak besar.

Masalah hakisan yang semakin kritikal terutama di kawasan Kampung Tanjung dan Mengabang Telipot juga menyebabkan jalan pantai terpaksa ditutup manakala peniaga pula terpaksa menghentikan perniagaan mereka atas faktor keselamatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!