Imigresen serbu penempatan pekerja asing, 76 PATI ditahan

Sebahagian PATI ditahan pasukan Tindakan Operasi Penguatkuasaan JIM selepas melakukan serbuan di dua lokasi di Shah Alam dan Kajang, Selangor pada Jumaat.
Foto: JIM.
Sebahagian PATI ditahan pasukan Tindakan Operasi Penguatkuasaan JIM selepas melakukan serbuan di dua lokasi di Shah Alam dan Kajang, Selangor pada Jumaat. Foto: JIM.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan di penempatan pekerja asing di Shah Alam dan Kajang, pada awal pagi Jumaat bagi memberkas pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam tindakan operasi penguatkuasaan yang bermula jam 12.05 pagi itu, pihaknya berjaya menahan seramai 76 orang PATI.

Beliau berkata, seramai 113 orang pegawai pelbagai pangkat JIM menyerbu penempatan pekerja warga asing di dua lokasi tersebut.

"Dalam operasi ini, sejumlah 374 warganegara asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 76 orang PATI yang berumur antara 20 hingga 55 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan serta India," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor untuk tujuan siasatan serta tindakan lanjut, selepas pasukan Tindakan Operasi Penguatkuasaan JIM melakukan serbuan di dua lokasi di Shah Alam dan Kajang, Selangor pada Jumaat.
Foto: JIM.
PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor untuk tujuan siasatan serta tindakan lanjut, selepas pasukan Tindakan Operasi Penguatkuasaan JIM melakukan serbuan di dua lokasi di Shah Alam dan Kajang, Selangor pada Jumaat. Foto: JIM.

Zakaria berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan aduan awam berhubung PATI disyaki tinggal di penempatan tersebut tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Jelas beliau, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri serta tinggal lebih masa berdasarkan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

"JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!