Hampir 300 PATI ditahan sejak Januari hingga Ogos - PGA
KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 296 pendatang tanpa izin (PATI) menerusi Op Taring Wawasan yang dijalankan sejak Januari hingga 31 Ogos lepas.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, daripada jumlah itu 226 adalah lelaki manakala selebihnya adalah wanita berusia 17 hingga 60 tahun.
"Kesemua mereka ditahan selepas memasuki negara ini melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dekat sempadan Malaysia-Thailand.
"Berdasarkan pecahan warganegara, seramai 201 adalah warga Myanmar; Bangladesh (51 orang); Thailand (24 orang); India (lapan orang); Rohingya (lima orang); Indonesia (empat orang) dan Pakistan (tiga orang)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Ros Azhan berkata, kebiasaanya PATI yang memasuki negara ini diuruskan oleh sindiket yang turut menyediakan "transporter” untuk mengangkut mereka ke destinasi tertentu, termasuk ke Pantai Barat Semenanjung.
"Dalam tempoh sama, 21 tekong darat yang disyaki menguruskan kemasukan PATI turut ditahan, termasuk 17 rakyat tempatan, tiga warga Myanmar, dan seorang warga Thailand," katanya
Beliau berkata, pihaknya turut mengesan wujudnya lapan pangkalan haram utama yang sering digunakan oleh sindiket untuk membawa masuk PATI ke negara ini.
"Kesemua pangkalan haram tersebut terletak di Pasir Mas dan Tumpat, termasuk pangkalan Gergaji, Tanjung, Jeram Perdah 1, Jeram 2, Jeram 3, Lubuk Gong, dan Tok Awang Belulang yang sering digunakan."
"Rata-rata PATI memasuki negara ini menggunakan perahu pada waktu malam atau awal pagi untuk menggelak dikesan. Namun, dengan rondaan berterusan serta risikan oleh anggota PGA, kemasukan mereka tetap dapat dikesan," katanya. - Bernama