Op Ragada: Kertas siasatan sedang dilengkapkan

SHAH ALAM - Kertas siasatan berkaitan tangkapan beberapa pegawai kanan sebuah syarikat penyiaran termasuk bekas datuk bandar kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram sedang dilengkapkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat penyiaran bersama isteri dan dua lagi individu yang ditahan Jumaat lalu dibebaskan dengan jaminan.
Beliau berkata, selain itu, turut dibebaskan bekas datuk bandar dan seorang bekas pengurus besar sebuah syarikat penyiaran.
"Kesemua empat individu yang ditahan Jumaat lalu dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadap mereka selesai dijalankan.
"Manakala bekas datuk bandar berumur 67 tahun dan seorang wanita berumur 71 tahun yang juga bekas pengurus besar tidak dibawa untuk reman memandangkan aspek umur dan kesihatan mereka. Mereka dilepaskan dengan jaminan polis serta dikehendaki membantu siasatan," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, tindakan susulan terhadap dua lagi tangkapan terbaharu bergantung kepada siasatan pegawai penyiasat kes.
Dalam pada itu, jelas Razarudin, bekas datuk bandar serta tiga lagi individu yang ditahan dalam serbuan terbaru merupakan pegawai tertinggi syarikat penyiaran yang meluluskan projek yang disyaki mempunyai unsur penyelewengan.
"Kesemua suspek ini dipercayai menerima perolehan haram hasil daripada projek yang diseleweng.
"Kemungkinan ada tangkapan lain, namun ia bergantung kepada siasatan yang dijalankan," katanya.
Razarudin sebelum ini dilaporkan berkata, modus operandi suspek adalah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram.
Jelas beliau, ia dilakukan menerusi transaksi kewangan yang mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga.
Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 4(1) Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Sebelum ini, media melaporkan penahanan lima individu menerusi Op Ragada pada Jumaat dilaksanakan ekoran daripada satu laporan polis yang diterima pada Oktober lalu.
Lima individu berusia 26 hingga 62 tahun berkenaan termasuk seorang wanita dan seorang lelaki berjawatan CEO sebuah syarikat serta dua anaknya dan dua lagi individu dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang dan Sarawak.
Hasil serbuan yang dijalankan, pasukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman merampas, membekukan dan menyita pelbagai aset seperti kenderaan, akaun bank dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!