Op Ragada: Reman 4 individu termasuk CEO disambung tiga hari

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahan reman terhadap empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat penyiaran di Sarawak yang ditahan pada Jumaat lalu disambung selama tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah mendapatkan perintah lanjutan reman keempat-empat suspek Isnin sehingga Rabu ini.

“Keempat-empat suspek membabitkan CEO, isteri, anak dan adik iparnya berusia antara 20 an hingga 60-an itu sedang disiasat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.

“Siasatan lanjut bagi mengesan aliran transaksi wang mencurigakan dipercayai diseleweng suspek,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan lima individu berusia 26 hingga 62 tahun ditahan membabitkan CEO sebuah syarikat media di Sarawak serta dua anaknya dan dua lagi individu melalui Op Ragada di Sarawak dan Pulau Pinang.

Razarudin dilaporkan berkata, tangkapan tersebut dilakukan susulan maklumat risikan dan maklumat mendapati terdapat pengaliran wang mencurigakan dikenal pasti membabitkan beberapa akaun bank sejak 2017 hingga September, tahun lalu.

Suspek disyaki turut menipu tender selain menganugerahkan tender kepada diri sendiri dan ahli keluarga.

Hasil daripada serbuan dijalankan, pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman turut menyita serta membekukan pelbagai aset membabitkan kenderaan, akaun bank dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 420 KK, Seksyen 403 KK dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!