Op Ragada: Siasatan tumpu transaksi wang mencurigakan

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat penyiaran media di Sarawak yang ditahan pada Jumaat, membabitkan kes pengubahan wang haram direman tiga hari.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keempat-empat suspek itu direman bermula Sabtu hingga Isnin.

“Seorang lagi anak kepada CEO terbabit dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Razarudin berkata, siasatan kini tertumpu kepada transaksi aliran wang yang mencurigakan dilakukan suspek.

Pada Jumaat, media melaporkan lima individu berusia 26 hingga 62 tahun ditahan membabitkan CEO sebuah syarikat media di Sarawak serta dua anaknya dan dua lagi individu melalui Op Ragada di Sarawak dan Pulau Pinang.

Razarudin dilaporkan berkata, tangkapan tersebut dilakukan susulan maklumat risikan dan maklumat mendapati terdapat pengaliran wang mencurigakan dikenal pasti membabitkan beberapa akaun bank sejak 2017 hingga September, tahun lalu.

Suspek disyaki turut menipu tender selain menganugerahkan tender kepada diri sendiri dan ahli keluarga.

Hasil daripada serbuan dijalankan, pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman turut menyita serta membekukan pelbagai aset membabitkan kenderaan, akaun bank dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 420 KK, Seksyen 403 KK dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!