Op Ragada: Bekas datuk bandar antara 4 individu ditahan

SHAH ALAM - Bekas datuk bandar antara empat individu ditahan untuk siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram melibatkan sebuah syarikat penyiaran di Sarawak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tangkapan dijalankan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Kuching, Sarawak menerusi dua operasi berasingan.
Beliau berkata, operasi pertama dijalankan kira-kira jam 7 petang pada Rabu itu melibatkan tangkapan dua wanita tempatan berumur 53 dan 62 tahun.
"Seorang pengarah sebuah syarikat antara dua wanita tempatan yang diberkas dalam operasi terbabit selain rampasan turut dilakukan melibatkan 32 dokumen sebuah syarikat.
"Kedua-dua suspek direman dua hari untuk siasatan lanjut," katanya pada Khamis.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, operasi berikutnya dijalankan melibatkan tangkapan dua individu termasuk seorang bekas datuk bandar pada Khamis.
"Suspek berumur 67 tahun itu ditahan bersama seorang lagi individu yang merupakan bekas pengurus besar syarikat penyiaran terbabit.
"Siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti kaitan kesemua suspek yang ditahan dengan kes yang disiasat," katanya.
Sebelum itu, media melaporkan penahanan lima individu terbabit menerusi Op Ragada pada Jumaat dilaksanakan ekoran daripada satu laporan polis yang diterima pada Oktober lalu.
Lima individu berusia 26 hingga 62 tahun berkenaan termasuk seorang wanita dan seorang lelaki berjawatan CEO sebuah syarikat serta dua anaknya dan dua lagi individu dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang dan Sarawak.
Hasil serbuan yang dijalankan, pasukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman merampas, membekukan dan menyita pelbagai aset seperti kenderaan, akaun bank dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

