Op Ragada: Polis akan mohon lanjutan reman empat suspek

KUALA LUMPUR - Polis akan memohon lanjutan reman terhadap empat individu termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat penyiaran di Sarawak yang ditahan pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun pihaknya akan membuat penilaian sekiranya siasatan sedia ada mencukupi dan sudah lengkap.
"Mungkin kita akan sambung lagi (reman). Kita akan lihat apa keperluan siasatan, saya mahu siasatan yang adil.
"Sekiranya siasatan kita mencukupi setakat itu, maka cukup, tidak perlu sambung reman," katanya kepada dalam sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis Yang Bersifat Mulia dan Budiman di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan polis mendapatkan perintah lanjutan reman keempat-empat suspek bermula Isnin sehingga Rabu ini.
Keempat-empat suspek membabitkan CEO, isteri, anak dan adik iparnya berusia antara 20 an hingga 60-an itu sedang disiasat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan lima individu berusia 26 hingga 62 tahun ditahan membabitkan CEO sebuah syarikat media di Sarawak serta dua anaknya dan dua lagi individu melalui Op Ragada di Sarawak dan Pulau Pinang.
Razarudin dilaporkan berkata, tangkapan tersebut dilakukan susulan maklumat risikan dan maklumat mendapati terdapat pengaliran wang mencurigakan dikenal pasti membabitkan beberapa akaun bank sejak 2017 hingga September, tahun lalu.
Suspek disyaki turut menipu tender selain menganugerahkan tender kepada diri sendiri dan ahli keluarga.
Hasil daripada serbuan dijalankan, pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman turut menyita serta membekukan pelbagai aset membabitkan kenderaan, akaun bank dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 420 KK, Seksyen 403 KK dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
