Kezaliman, kekejaman Al-Assad terhadap rakyat Syria

BANYAK cerita mengenai Syria yang tidak sampai kepada kita, terutamanya kisah-kisah kezaliman pemerintahnya yang dikawal rapi dan dijaga agar tidak dibawa keluar dari negara tersebut.
Menceritakan pengamalan ketika belajar dan menguruskan misi bantuan kemanusiaan di Syria, Exco Pendidikan Muslim Care Malaysia (MCM), Ustaz Mohammad Nazmi Abdul Karim banyak menyimpan kisah-kisah tersebut.

Menurut beliau, dia pernah tinggal di Syria pada tahun 1992 hingga 1998 ketika pemerintahan bapa Bashar Al-Assad iaitu Hafez Al-Assad.
“Tinggal di Syria ini ada dua perkara yang saling bertentangan iaitu orang Syria yang boleh dikatakan orang Arab yang paling baik di dunia dan pemerintahan kuku besi oleh Al-Assad.
“Rakyat Syria memang lembut dan baik namun ALLAH SWT menguji mereka dengan kerajaan kuku besi yang zalim serta sangat keras terhadap rakyatnya.
“Mereka tidak beri muka kepada rakyat, selain ditekan supaya takut kepada pemerintahnya,” jelasnya pada Majlis Pelancaran Malaysia Aid 2 Syria di Rawang baru-baru ini.
Pelbagai seksaan terhadap rakyat
Tambah Ustaz Mohammad Nazmi, pemerintah Syria hingga mengeluarkan slogan ‘Hafez Al-Assad pemerintah kami buat selama-lamanya’, agar rakyat sentiasa ingat akan pemimpin mereka itu.
Ujarnya, sejak tahun 80-an lagi malah sehingga sebelum kejatuhan Bashar Al-Assad baru-baru ini, banyak patung dibina di mana-mana sahaja termasuk di bulatan jalan bagi mengagungkannya.
“Di kedai-kedai dan bangunan kerajaan juga mereka dipaksa menggantung gambar Al-Assad dengan saiz yang besar sebagai tanda patuh kepada pemerintah,” katanya.
Meneruskan cerita mengenai kekejaman Al-Assad selama kira-kira 50 tahun itu, Ustaz Mohammad Nazmi berkata, ada antara rakyat Syria ditembak mati di hadapan anak-anak jika mereka tidak mahu menyertai tentera Al-Assad.
“Antara lain juga tentera Al-Assad akan masuk ke dalam satu kampung dan menembak rakyatnya secara beramai-ramai sebelum membakarnya.

“Selepas tentera keluar, orang kampung yang masih hidup akan memadamkan api yang membakar mereka yang ditembak itu bagi menyelamatkan mereka dalam timbunan itu jika masih hidup.
“Saya pernah berjumpa salah seorang daripada mereka yang masih selamat itu dan melihat sendiri belakangnya yang melecur akibat dibakar oleh tentera Al-Assad,” ceritanya lagi.
Bukan setakat itu, tentera Al-Assad juga menangkap rakyat Syria dengan sesuka hati sebelum mengurung di dalam penjara mereka dan menitikkan plastik terbakar ke badan mereka.
“Ada yang ditahan tanpa sebab dan kembali berjumpanya dengan keluarga selepas 11 tahun berpisah.
“Di dalam penjara juga, mereka diseksa dan dipukul sehingga tidak sedarkan diri, malah kuku-kuku mereka dicabut.
“Ada yang tangan-tangan mereka dipaku di dinding penjara dan ada yang kepalanya dihimpitkan dengan pintu penjara sehingga pecah,” katanya.
Kanak-kanak juga ditakut-takutkan dengan seksaan dan hukuman yang bakal menimpa sekiranya tidak patuh dengan peraturan, ujarnya.
Kad khas untuk berjanggut
Ceritanya lagi, ketika belajar di sana, beliau ada kalanya pelik dengan guru-guru yang tidak berkopiah dan tidak berjanggut.
“Selepas ditanya kepada pelajar lain, jawapan mereka, guru-guru yang bertaraf ulama ini tidak dibenarkan untuk membela janggut.
“Sekiranya mereka mahu meyimpan janggut, mereka perlu meminta keizinan daripada pemerintah dan kerajaan akan mengeluarkan kad khas untuk menyimpan janggut,” katanya.
Meneruskan ceritanya, ketika pemerintah bertukar pada 8 Disember lalu, tiada sebarang pertumpahan darah berlaku, malah bangunan-bangunan juga tidak rosak menandakan peralihan kerajaan berlaku dengan aman.

Sebelum menutup bicara, beliau sempat membacakan hadis akhir zaman mengenai Syria atau Syam, Rasulullah SAW bersabda: “Akan berlaku pelbagai perkara sehingga membawa kepada terbentuk beberapa pasukan tentera iaitu tentera di Syam, tentera di Yaman dan tentera di Iraq.”
Ibn Huwalah berkata: “Pilihlah untuk kami wahai Rasulullah sekiranya kami sempat dengan suasana demikian.”
Jawab Rasulullah: “Wajib kamu bersama dengan tentera Syam, sesungguhnya mereka adalah pilihan ALLAH dalam kalangan hamba-NYA di muka bumi ini. Sekiranya kamu enggan, maka bersamalah dengan tentera Yaman dan minumlah dari sumber airnya. Sesungguhnya ALLAH telah mewakilkan padaku Syam dan penduduknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Memetik hadis akhir zaman yang lain, An-Nawwas bin Sam’aan berkata: "ALLAH mengutus Isa bin Maryam. Baginda turun di Menara Putih sebelah timur Kota Damaskus (Damsyik) dengan mengenakan pakaian yang dicelup dengan za'faran dalam keadaan berpegang kepada sayap dua malaikat." (Riwayat Muslim)
Menurutnya, kita umat Islam di Malaysia dipisahkan dengan jarak beribu-ribu kilometer namun kita masih boleh membantu Syria dengan menyalurkan sumbangan dan itu juga merupakan satu anugerah daripada ALLAH SWT.
Mengapa NGO banyak hantar bantuan pada musim sejuk?
Musim sejuk di negara-negara bergolak seperti Palestin dan Syria antara mimpi ngeri bagi penduduk dan pelarian yang tidak mempunyai keperluan yang lengkap untuk menghadapinya.
Mereka perlu memakai baju sejuk yang tebal, selimut dan pemanas sekiranya berada di dalam bangunan dan kesejukannya masih dirasai.

Bayangkan kalau mereka hanya tinggal di kem pelarian yang serba-serbi tidak mencukupi.
Oleh sebab itu banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengutip dana sumbangan untuk membantu pelarian-pelarian apabila musim sejuk menjelma kerana kesejukan yang mereka hadapi itu boleh membawa maut.
Di Gaza, Palestin, kira-kira tujuh bayi maut akibat sejuk melampau seperti dilaporkan media baru-baru ini.
Oleh sebab itu, Muslim Care Malaysia (MCM) dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) bekerjasama untuk menjayakan Malaysia Aid 2 Syria yang menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta daripada orang ramai.
Maklumat lanjut mengenai misi boleh diperolehi melalui www.muslimcaremalaysiasociety.com dan sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 5644 9041 3882 dengan rujukan AID2SYRIA.
Sumber: Ketua Pegawai Eksekutif MVM, Ustaz Muhammad Hasbullah Md Najib
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!