Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah tidak mengecewakan

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memperagakan aksi konsisten untuk menempah slot separuh akhir Terbuka India sebentar tadi.
Kejayaan berkenaan hadir selepas gandingan berstatus ketiga dunia itu menumpaskan Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat dalam saingan separuh akhir di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi.
Kemenangan Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila dikerah kudrat oleh pasangan Thailand itu untuk beraksi selama 43 minit.
Bermula positif pada set pertama apabila menang 21-16 dan momentum itu diteruskan pada permainan berikutnya sebelum mengesahkan kemenangan 21-17 untuk mara ke separuh akhir.
Menanti mereka dalam saingan tersebut pada Sabtu ialah pemenang antara pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue atau Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun.

Malah kejayaan berada dalam kelompok empat terbaik itu juga menjadi peluang terbaik buat Tang Jie-Ee Wei untuk menebus kecewa tersekat di pusingan sama pada Terbuka Malaysia di Bukit Jalil minggu lalu.
Dalam pada itu, khabar gembira juga hadir dari gelanggang beregu wanita apabila Pearly Tan-M Thinaah turut mencatat nama sebagai pasangan yang melangkah ke separuh akhir kejohanan berstatus Super 750 tersebut.
Gandingan ketujuh dunia itu menewaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 21-18, 21-19 dalam tempoh 57 minit permainan.
Pearly-Thinaah bakal berdepan cabaran pasangan Korea Selatan yang bertembung sesama sendiri, Kim Hye-jeong dan Kong Hee-yong atau Baek Ha-na serta Lee So-hee dalam saingan separuh akhir pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!