Polis siasat dokumen palsu guna jata negara, nama Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR - Polis menyiasat dokumen palsu yang memaparkan Jata Negara, logo badan peguam serta nama Ketua Polis Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan berkaitan dokumen yang dikeluarkan oleh 'Pejabat Pusat Memerangi Jenayah Berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi' itu diterima pihaknya pada Selasa.
Menurutnya, kandungan dokumen itu memaklumkan bahawa penerimanya terlibat dalam beberapa prosiding undang-undang kerana memiliki imej pornografi kanak-kanak.
"Penerima dokumen tersebut juga dikehendaki menghubungi pihak yang mengeluarkan dokumen tersebut dengan segera atau waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka.
"Hasil penelitian, dokumen berkenaan turut memaparkan Jata Negara serta logo badan peguam Malaysia dan ditandatangani oleh penama yang hampir sama dengan Ketua Polis Negara, namun menggunakan jawatan berbeza," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, semua perkara di dalam dokumen itu adalah palsu.
Menurut Ramli, dokumen sedemikian tidak dikeluarkan oleh mana-mana jabatan kerajaan.
"Siasatan di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan sedang dijalankan dan masyarakat yang menerima dokumen sedemikian sama ada secara fizikal, emel, WhatsApp atau apa sahaja cara sekali pun, sila abaikan kerana kandungan itu palsu," katanya.
Tegas beliau, polis percaya dokumen itu telah dicipta dengan tujuan menimbulkan kebimbangan kepada penerima dan seterusnya menjerat individu mangsa penipuan atau pemerasan.
"Polis juga menggesa mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa agar tampil membuat laporan di mana-mana balai berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
