Kebakaran Los Angeles: Pengajaran buat kita bersama

KEBAKARAN dahsyat yang berlaku di Los Angeles, California menggemparkan dunia. Foto AFP
KEBAKARAN dahsyat yang berlaku di Los Angeles, California menggemparkan dunia. Foto AFP
A
A
A

AWAL tahun ini atau secara tepatnya pada 3 Januari lalu pastinya merupakan tarikh yang akan diingati oleh masyarakat dunia terutamanya penduduk di Los Angeles, California.

Peristiwa kebakaran yang begitu dahsyat dan merebak dengan cepat itu kini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 24 nyawa manusia dan lebih 150,000 penduduk dipindahkan.

Bencana tersebut juga menyebabkan lebih 12,000 kediaman di sana musnah dalam kebakaran yang merebak seluas 155 kilometer persegi.

Benarlah peribahasa ‘Kecil api menjadi kawan, besar ia menjadi lawan'.

Walaupun peribahasa tersebut membawa maksud kejahatan yang sedikit jangan dibiarkan menjadi besar, namun secara teksnya juga telah memberi gambaran bahawa api yang kecil jangan dibiarkan ia menjadi besar.

Jika dibiarkan juga jadilah suatu bencana yang begitu dahsyat seperti yang berlaku di Los Angeles itu.

USTAZ WAN MUHD USAID
USTAZ WAN MUHD USAID

Artikel Berkaitan:

Pendakwah, Ustaz Wan Muhd Usaid Wan Subki menjelaskan, peristiwa tragis ini mengingatkan kita semua akan firman ALLAH SWT dalam ayat ke-266 surah al-Baqarah:

“Apakah seseorang antara kamu suka mempunyai sebuah kebun daripada pokok kurma dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, di dalam kebun itu terdapat pelbagai jenis buah-buahan. Ketika dia sudah tua dan mempunyai ramai anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia. Demikianlah ALLAH menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).”

Menurutnya, perkataan i’sar dalam ayat tersebut membawa maksud angin yang sangat kuat.

“Di Los Angeles, ada satu fenomena khas angin yang dipanggil devil winds atau secara saintifiknya dipanggil Santa Ana winds. Santa Ana winds ini anginnya sangat kuat serta sangat kering.

“Angin inilah yang membawa api dan menyebabkan kebakaran menjadi besar serta sukar dikawal, sama seperti apa yang disebutkan dalam ayat tersebut iaitu angin yang membawa api,” jelasnya di akaun Facebook miliknya pada Selasa.

Tambah Ustaz Wan Muhd Usaid, bahkan dalam satu rakaman video yang disiarkan oleh agensi berita CNN, satu taufan api telah terbentuk berdekatan Brentwood iaitu satu kejiranan elit di Los Angeles.

SIAPA yang sangka nama Los Angeles yang gah di persada antarabangsa tiba-tiba diuji dengan kebakaran dahsyat firenado. Foto CANVA
SIAPA yang sangka nama Los Angeles yang gah di persada antarabangsa tiba-tiba diuji dengan kebakaran dahsyat firenado. Foto CANVA

“Taufan api ini dipanggil firenado, fire tornado atau fire devil. Ia merupakan fenomena yang pelik dan jarang berlaku.

“Ia berlaku berikutan suhu yang sangat panas serta angin yang kuat,” jelasnya lagi.

Merujuk kembali kepada ayat al-Quran itu, beliau menjelaskan, dalam kitab Sahih Al-Bukhari ada diceritakan bahawa para sahabat iaitu Umar dan Ibnu Abbas RA berbincang mengenai sebab nuzul (penurunan) ayat ini.

“Hadis tersebut menceritakan bahawa ayat ini adalah berkenaan perumpamaan seorang lelaki kaya yang sangat rajin beramal, namun dia termakan hasutan syaitan lalu dia melakukan maksiat sehingga menenggelamkan amalan kebaikan yang pernah dia lakukan.

“Ibnu Hajar menejaskan, maksud maksiat menenggelamkan amalan kebaikan yang pernah dilakukan adalah seseorang yang beramal soleh ketika hayatnya, namun di penghujung kehidupannya dia berubah dan melakukan maksiat,” hurainya lagi.

Ustaz Wan Muhd Usaid juga sempat membelek Tafsir Hamka mengenai ayat ini dan beliau menceritakan bulu romanya meremang ketika membaca tulisan Hamka, seolah-oleh Hamka baru sahaja menulis tafsir ayat tersebut pada hari ini.

Ungkapan Hamka: “Kita ingat betapa hebatnya bahaya api di rimba-rimba Eropah dan Amerika pada musim sejuk (winter). Betapa hebatnya jika putung rokok sahaja dilemparkan, dalam sebentar waktu sahaja boleh membakar rumput-rumput dan memindah kepada kayu-kayuan hutan yang besar-besar kerana hawa yang dingin itu adalah kering.

“Maka bahaya api pada kebakaran yang demikian adalah ancaman yang sangat ngeri. Tidak ada yang dapat menghentikan kebakaran kebun-kebun itu kalau tidak ada hujan lebat datang.

KESAN kebakaran besar yang menyebabkan lebih 12,000 kediaman musnah selain 150,000 penduduk terpaksa berpindah. Foto AFP
KESAN kebakaran besar yang menyebabkan lebih 12,000 kediaman musnah selain 150,000 penduduk terpaksa berpindah. Foto AFP

“Kalau kebun terbakar, musnahlah segala pengharapan, baik pengharapan si tua bangka untuk sisa hidupnya mahupun pengharapan yang akan ditinggalkan buat anak cucunya. Maka sedekah yang dihamun-cercakan, yang dibangkit-bangkit, akan membakar segala amalan yang telah ada, tidak ada harapan lagi.”

Ujar pendakwah itu, moga-moga ALLAH jauhkan kita semua daripada terlibat dengan bencana kebakaran dan moga-moga amalan soleh kita tidak musnah akibat maksiat serta kejahatan yang kita lakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!