'Saya setia menanti walau apa jua pengakhiran'

KUALA NERUS - Biarpun masih belum pasti apakah nasib bakal menimpa 'mahligai impian' yang dihadiahkan buat arwah isterinya, seorang pesara masih setia menanti dengan penuh harapan agar usaha menyelamatkan kediaman bernilai RM600,000 itu membuahkan hasil.
Mohd Yazit Idris, 66, berkata, saban malam dia akan mengunjungi kediaman itu bagi memastikan ombak yang membadai tidak terus melenyapkan struktur bangunan yang menjadi lambang cinta terhadap isterinya, Siti Rashiddah Mohd Yunos, 66.
Menurutnya, buat sementara waktu ini dia tinggal di sebuah rumah inap di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini yang terletak kira-kira 15 meter dari banglo miliknya itu.
"Setiap malam saya akan berjalan kaki dari rumah inap ke sini untuk melihat keadaan ombak pada waktu malam.

"Ombak kuat, lebih-lebih lagi pada waktu puncak ketika lewat petang sehingga ke tengah malam. Ombak mencecah lebih 2 meter membadai sehingga ke tiang rumah yang dibina tinggi.
"Setakat ini, ianya masih bertahan lebih-lebih lagi ketika kerja-kerja tambakan sementara melibatkan bahagian hadapan rumah ini telah dijalankan," katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Rabu.
Walaupun mengalami penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang (tahap tiga), bapa kepada tiga anak itu tetap menggagahkan diri untuk berulang-alik melihat rumah yang meninggalkan 1001 kenangan buatnya.
Warga emas berasal dari Puchong, Selangor itu berkata, dia akan lebih tenang apabila berada di situ sambil mengimbau kenangan indah bersama arwah isterinya.
Kongsi Mohd Yazit, sejak kecil dia menanam impian untuk membina kediaman di tepi pantai dan hasrat itu menjadi kenyataan setelah arwah isterinya memilih kawasan itu untuk dijadikan tempat mereka menghabiskan sisa usia.
"Segalanya bermula apabila kami berdua datang ke Terengganu dan mencandat sotong di perairan Marang.
"Arwah isteri ketika itu turut meminati pantai dan dia ada meluahkan impiannya untuk memilih tempat ini sebagai kediaman kami menghabiskan sisa hidup di hari tua.
"Semasa hayatnya, arwah pernah memberitahu bahawa pokok kelapa di sini seolah-olah melambai-lambai memanggil kami berdua untuk tinggal di sini," ujarnya.

Bagaimanapun, kata Mohd Yazit, fenomena air pasang besar dan hakisan yang berlaku bakal melenyapkan impian yang pernah dibina bersama isterinya itu.
"Saya sudah berusaha sehabis boleh, baik melalui usaha sendiri dan keluarga, bantuan kawan-kawan dan kini dibantu oleh penduduk kampung serta wakil rakyat di sini.
"Saya pasrah sekiranya usaha ini tidak membuahkan hasil, saya berserah segalanya kepada ALLAH SWT kerana setiap apa yang ada pada kita tidak akan selamanya berkekalan.
"Saya akur jika itu kehendak ALLAH Yang Maha Esa. Cuma buat masa ini saya mahu menunggu kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak di sini siap sepenuhnya dahulu sebelum membuat perancangan seterusnya," ujarnya.
Mohd Yazit memberitahu, tanah tapak rumahnya itu dibeli dengan nilai RM150,000 pada 2018 dengan jarak antara kawasan rumah dengan pantai sejauh kira-kira 100 meter.
Katanya, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini masalah hakisan semakin ketara menyebabkan 95 meter kawasan tanah telah tenggelam dan kini jarak antara rumahnya dengan kawasan pantai hanya sejauh lima meter.
"Sebenarnya sebelum beli tanah di sini, saya ada juga meninjau beberapa lokasi tepi pantai di negeri yang lain namun, harganya terlalu mahal mencecah jutaan ringgit.
"Lagipun, ketika itu saya dan isteri terpikat dengan keindahan pantai di Terengganu memandangkan suasana pantai di sini tiada tandingan berbanding tempat lain," katanya yang kehilangan isteri akibat kanser usus sejak enam tahun lalu.
Kisah banglo mewah milik Mohd Yazit yang dikhuatiri musnah akibat fenomena hakisan tular di media sosial selepas mendapat liputan akhbar Sinar Harian pada 10 Januari lalu.
Mohd Yazit ketika itu buntu memikirkan langkah perlu diambil apabila kediaman dibina hasil wang persaraannya hampir runtuh.
Warga emas berasal dari Puchong, Selangor berkata, rumah dibina di atas tanah itu kini menunggu masa roboh selepas dilanda ombak besar pada 4 Januari lalu.
Bagaimanapun, masih ada sinar harapan buat Mohd Yazit apabila asalah hakisan yang hampir memusnahkan kediamannya itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.
Ketika ini, benteng sementara sedang dibina di kediaman itu secara bergotong-royong sebelum kerja-kerja selanjutnya dilaksanakan pihak berwajib selepas Mac depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
