DPMM saran tiga langkah tangani kartel kontraktor MRSM

Laporan Sinar Harian berhubung wujud kartel kontraktor dalam MRSM. Gambar kecil: Norsyahrin
Laporan Sinar Harian berhubung wujud kartel kontraktor dalam MRSM. Gambar kecil: Norsyahrin
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa aspek perlu dirombak segera bagi menangani kewujudan kartel membabitkan kontraktor dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, antara langkah penting adalah dengan memastikan kesahihan dokumen oleh syarikat kontraktor yang menyertai tender agar tidak dimanipulasi pihak tertentu.

Menurutnya, penelitian maklumat tersebut hendaklah ditingkatkan agar ia sedikit sebanyak dapat mengekang pihak tertentu memonopoli tawaran tender.

“Apa yang mungkin boleh dilaksanakan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu mengawal dan memantau kesahihan maklumat dan dokumen yang dilampirkan oleh syarikat semasa menyertai tender.

“Pada masa sama, adakan kitaran setiap dua tahun membabitkan pegawai bertugas yang menyelia dan menguruskan tender.

“Ia bagi menjamin ketelusan proses pemilihan tender,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Norsyahrin berkata, cadangan lain termasuk mewujudkan hanya beberapa dapur berpusat dalam menyediakan makanan kepada MRSM mengikut wilayah tertentu.

Pada Isnin, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan kewujudan kartel membabitkan kontraktor dalam MRSM.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia terbukti apabila ada di antara kontraktor menipu butiran ketika membuat permohonan.

Menurutnya, terdapat proses dan tatacara perolehan yang ketat bagi setiap kontrak dalam MRSM yang tidak membabitkan beliau.

Mengulas lanjut, Norsyahrin berkata, bukan mudah untuk menangani isu kartel berikutan pihak terbabit sering menggunakan syarikat dimiliki individu berbeza.

“Sedangkan yang mempunyai kawalan ke atas syarikat terlibat mungkin hanya seorang.

“Individu berkenaan kemungkinan juga namanya tiada pun dalam pendaftaran mana-mana syarikat yang menyertai tender,” ujar beliau.

Menurutnya, kewujudan kartel dipercayai bukan sahaja berlaku di Mara, malah di kebanyakan agensi kerajaan, kementerian mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertentu.

“Sebagai sebuah agensi kerajaan bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), saya percaya prosedur perolehan yang dilaksanakan Mara mengikut prosedur ditetapkan kerajaan, sebagaimana terdapat dalam surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!