Ada kartel kontraktor dalam MRSM - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan kewujudan kartel membabitkan kontraktor dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Beliau berkata, terdapat proses dan tatacara perolehan yang ketat bagi setiap kontrak dalam MRSM yang tidak membabitkan beliau.
Menurutnya, ia terbukti apabila ada di antara kontraktor menipu butiran ketika membuat permohanan.
Tambahnya, ada di antara mereka menggunakan alamat berhampiran dengan MRSM terbabit namun apabila disemak rupanya berada jauh di luar kawasan.
“Apabila saya jadi Pengerusi Mara, saya ada dengar cakap-cakap di luar sana yang memaklumkan ada kartel (kontraktor) dalam MRSM.
“Bila saya turun padang, memang saya nampak ada kartel itu. Semasa memohon, keutamaan diberikan kepada syarikat tempatan yang terletak berhampiran dengan MRSM supaya apabila berlaku sesuatu, mudah untuk mereka kendalikan (permasalahan itu).
"Bila kita periksa rupanya berada jauh, jadi ini soal penipuan dan sebagainya. Manusia ini akan cari jalan juga untuk capai apa yang dinginkan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar mengenai pencapaian Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) di sini pada Isnin.

Sebelum ini, seramai 8,909 pemohon ditawarkan ke MRSM bagi sesi 2025.
Daripada jumlah itu, 7,229 tempat disediakan bagi kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 manakala sebanyak 1,680 tempat disediakan bagi kemasukan ke Tingkatan 4.
Tambah Asyraf Wajdi, terdapat proses dan tatacara dalam perolehan yang ketat bagi setiap kontrak dalam MRSM yang tidak membabitkan beliau.
“Saya perlu menjaga amanah selaku Pengerusi Mara yang meluluskan peruntukan wang rakyat dan memastikan ia dimanfaatkan dengan baik tanpa satu sen pun wang berkenaan dibazirkan.
“Tidak boleh kata 100 peratus isu kartel ditangani tetapi saya cuba sedaya meskipun sukar untuk dihapuskan sepenuhnya.
"Maknanya bila kita tegas kena buat perubahan dengan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) serta pengawasan di peringkat pengurusan.Berdasarkan langkah-langkah itu, kita nampak sudah ada perkembangan positif dan ia akan diteruskan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!