Berdosakah solat laju?

TIDAK dinafikan memang terdapat segelintir orang yang solat laju dan cepat bagaikan ribut.
Orang di sebelahnya yang mendirikan solat terlebih dahulu daripadanya pun belum siap menunaikan kewajipan itu.
Situasi itu membuatkan ramai tertanya-tanya adakah berdosa jika solat dalam keadaan yang laju?
Ini kerana kebanyakan orang akan mengambil masa jika benar-benar ingin menyempurnakan rukun, syarat-syarat wajib dan sah solat.
Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, baik laju mahupun perlahan solat yang dikerjakan, ia dibolehkan selagi mana semua rukun dan syarat berkaitan ibadah itu disempurnakan dengan baik.

Beliau turut memberikan contoh mudah untuk kita memahaminya.
“Kalau (solat) perlahan, tapi baca (bacaan dalam solat) tak betul, (maka) tak sah (solatnya). Mana sah walaupun baca perlahan.
“Bagaimanapun, kalau baca laju (dan betul bacaan dan sebutannya), sah (solat didirikannya),” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikannya di akaun YouTube miliknya pada Selasa.
Agamawan itu kemudian memberi peringatan berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang mana Baginda bersabda: “Seburuk-buruk curian oleh manusia apabila ia mencuri dalam solatnya. Lantas dikatakan, Ya Rasulullah, bagaimana seseorang itu mencuri di dalam solatnya? Sabda Baginda SAW: Seorang yang tidak sempurna rukuknya dan sujudnya.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)

“Hadis itu menggambarkan orang yang mencuri dalam solat ialah dia sembahyang laju sampai tidak (melakukan) tamakninah dalam rukuk dan sujudnya.
“Jika tamakninah itu ada dan laju (solatnya serta menyempurnakan segala rukun solat), ia sah. Cuma orang yang terbaik di antara kamu ialah orang yang mengikut contoh Rasulullah SAW,” terangnya.
Ketahuilah bahawa Nabi Muhammad SAW tidak laju atau perlahan ketika mendirikan solat, ungkapnya.
“Maknanya, Baginda sederhana sahaja. Yang elok adalah tidak laju (ketika mendirikan solat),” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood mengingatkan agar kita menitikberatkan soal syarat dan rukun dalam solat.
Beliau mengingatkan agar kita tidak meninggalkannya kerana mengejar masa untuk cepat-cepat menyudahkan solat.

“Pastikan setiap bacaan dibaca dengan betul. Mana mungkin kita akan mudah faham kalau kita berhadapan dengan orang yang bercakap cepat dengan kita. Malah, kita mungkin akan marah padanya.
“Begitu jugalah ketika mendirikan solat yang mana kita sedang ‘berhadapan’ dengan ALLAH SWT yang menciptakan manusia. Solat itu tanda pengabdian kita kepada-NYA.
“Maka wajiblah kita menyempurnakan kewajipan itu dengan mematuhi segala rukun dan menjaga bacaan-bacaan dalam solat dengan tajwid yang betul,” katanya kepada Sinar Islam Plus ketika ditemu bual sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!