Ustazah Asma’ ajak umat Islam promosi keindahan masjid dan imarahkannya

MASJID PUTRA di Putrajaya yang terkenal dalam kalangan pelancong termasuk non-Muslim. Foto CANVA
MASJID PUTRA di Putrajaya yang terkenal dalam kalangan pelancong termasuk non-Muslim. Foto CANVA
A
A
A

UMUMNYA ramai orang maklum bahawa masjid merupakan rumah ibadat umat Islam namun tidak semua tahu bahawa fungsi dan peranan masjid bukan sekadar tempat untuk solat.

Bahkan pada zaman kegemilangan umat Islam, masjid dijadikan sebagai pusat komuniti yang sangat efektif dan ia berfungsi sebagai one stop centre yang memudahkan urusan manusia termasuk dalam kehidupan seharian mereka.

Bagaimanapun, baru-baru ini isu berkaitan masjid kembali diperkatakan apabila video promosi untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 tidak memasukkan unsur masjid di dalamnya.

Perkara tersebut mendapat perhatian banyak pihak termasuk pendakwah, Ustazah Asma’ Harun.

Beliau menjelaskan, dia sangat kagum dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

USTAZAH ASMA'
USTAZAH ASMA'

“Kita melihat bagaimana isu ini disuarakan oleh pelbagai pihak sama ada para pemimpin, agamawan dan rakyat biasa tanpa mengira latar belakang, ideologi dan perbezaan politik.

Artikel Berkaitan:

“Secara tidak langsung ia menyatukan rakyat Malaysia khususnya umat Islam. Walapun berbeza pandangan, ia mencerminkan keprihatinan bersama terhadap identiti agama dan budaya yang menjadi teras negara ini,” jelasnya di Facebook miliknya pada Isnin.

Ujarnya, sebagai rakyat Malaysia, kita sangat bangga dengan negara yang mempunyai pelbagai bangsa, agama dan kaum tetapi tetap mampu hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Itulah sebenar-benarnya Malaysia Truly Asia. Oleh sebab itu ada beberapa perkara yang kita semua boleh sepakat dan rasakan bersama-sama,” hurainya.

Tambahnya, disebabkan isu ini juga maka ramai yang mengeluarkan kenyataan menegur bahawa video tersebut kurang mencerminkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara dengan majoriti penduduk beragama Islam.

“Ini kerana menurut data Banci Penduduk dan Perumahan 2020, seramai 63.5 peratus daripada penduduk Malaysia adalah Muslim.

“Situasi ini akhirnya mengecewakan ramai pihak terutamanya umat Islam. Sebenarnya walaupun video tersebut hanyalah video pelancaran, lebih baik dan wajar jika gambar masjid turut dimasukkan seperti rumah-rumah ibadah lain agar tiada berlaku salah faham,” jelasnya.

Ujarnya, menurut statistik terkini daripada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), terdapat 6,825 buah masjid dan 18,385 surau di Malaysia.

MASJID Selat Melaka turut menjadi tumpuan pelancong. Foto CANVA
MASJID Selat Melaka turut menjadi tumpuan pelancong. Foto CANVA

“Begitu juga menurut teks khutbah Jumaat yang diterbitkan oleh Jakim, Masjid Putra di Putrajaya merupakan salah satu masjid utama yang menarik minat pelancong luar negara, termasuk dalam kalangan bukan Muslim.

“Statistik menunjukkan masjid ini menerima lebih 2,000 pelawat setiap hari, menjadikan anggaran jumlah keseluruhan pelawat sepanjang tahun 2019 melebihi 922,000 orang,” hujahnya.

Selain itu katanya, Masjid Negara dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin turut menjadi destinasi popular kerana seni bina unik dan suasana yang mesra pelancong.

“Kehadiran pelancong daripada pelbagai latar belakang agama ini mencerminkan keterbukaan dan nilai harmoni yang diamalkan dalam masyarakat Islam di Malaysia.

“Hal ini juga menunjukkan potensi masjid sebagai platform untuk memperkenalkan keindahan Islam kepada dunia,” katanya.

Sebagai penceramah, banyak masjid yang beliau pernah pergi dan hampir kesemuanya indah seperti Masjid Seribu Selawat di Perak dengan kaligrafi selawat pada dindingnya yang menjadi tarikan unik kepada pelancong dan lain daripada yang lain.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sedaya upaya mengelakkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan sensitiviti masyarakat.

“Sikap saling menghormati dan toleransi antara pelbagai kaum dan agama adalah asas kepada perpaduan negara kita yang wajar ditampilkan.

“Harapan ini juga pernah dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menginginkan agar kita semua membina dan mengawal keharmonian bersama,” jelasnya.

Oleh itu katanya, marilah kita bersama-sama mempromosikan keindahan dan keunikan masjid-masjid di Malaysia melalui semua platform media sosial yang ada.

“Dengan cara ini, kita dapat memperkenalkan warisan seni bina Islam kepada dunia sambil mengekalkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

MASJID bukan sahaja tempat untuk beribadah, bahkan ia menjadi one stop centre kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti harian mereka. Foto CANVA
MASJID bukan sahaja tempat untuk beribadah, bahkan ia menjadi one stop centre kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti harian mereka. Foto CANVA

“Buat seluruh umat Islam, inisiatif mempromosikan masjid melalui pelancongan adalah usaha yang sangat bagus dan wajar dipuji.

“Namun pengimarahannya juga perlu terus diperkasakan bukan sahaja melalui solat berjemaah, tetapi juga dengan pelbagai aktiviti ilmu, dakwah, kebajikan dan perpaduan,” ujarnya panjang.

Tambahnya, masjid perlu menjadi tempat yang menyatukan umat Islam tidak kira latar belakang atau perbezaan pandangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!