Darah warna keruh, kuning atau perang, adakah dianggap haid?

KETAHUI kaedah mengenal pasti warna keruh, kuning dan perang yang dianggap haid. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
KETAHUI kaedah mengenal pasti warna keruh, kuning dan perang yang dianggap haid. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
A
A
A

WALAUPUN golongan wanita didatangi haid setiap bulan, namun masih banyak kekeliruan yang timbul berkaitannya.

Antara persoalan popular yang sering berlegar-legar dalam kalangan kaum Hawa adalah mengenai darah berwarna selain merah atau kehitaman.

Masakan tidak, adakalanya ‘darah’ yang keluar itu berwarna keruh, kuning atau perang.

Disebabkan keliru, ada yang membersihkannya dan terus mendirikan solat, tetapi terdapat juga sebilangan perempuan yang tidak mendirikan solat kerana percaya bahawa ia merupakan darah haid.

Jika perkara itu kerap berlaku, memang boleh dibilang hanya berapa hari sahaja wanita tersebut mendirikan solat.

Sebenarnya, benarkah ‘darah’ yang berwarna keruh, kuning atau perang dikira sebagai darah haid atau datang bulan?

Menerusi artikel terbaharu disiarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, haid dari sudut bahasanya adalah mengalir.

Dari segi istilah pula ialah darah tabii (semula jadi) yang keluar dari pangkal rahim perempuan setelah baligh ketika keadaan badannya sihat pada tempoh tertentu.

Artikel Berkaitan:

Warna darah itu ialah kehitaman, merah, perang, cecair kekuningan dan berwarna keruh seperti tanah atau air kotor serta berbau.

HAID dari sudut bahasanya adalah mengalir, manakala dari segi istilah pula ialah darah tabii (semula jadi) yang keluar dari pangkal rahim perempuan setelah baligh ketika keadaan badannya sihat pada tempoh tertentu. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
HAID dari sudut bahasanya adalah mengalir, manakala dari segi istilah pula ialah darah tabii (semula jadi) yang keluar dari pangkal rahim perempuan setelah baligh ketika keadaan badannya sihat pada tempoh tertentu. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Justeru, cecair berwarna kuning dan keruh yang keluar pada tempoh haid (zaman imkan al-haid) termasuk dalam kategori darah haid apabila dilihat pada tempoh sekurang-kurang haid (24 jam) dan tidak melepasi tempoh sebanyak-banyak haid (15 hari 15 malam).

“Demikian menurut pandangan yang muktamad dalam Mazhab Syafie,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-882: Kaedah mengenal pasti warna keruh, kuning dan perang yang dianggap haid.

Aisyah RA dalam Al-Muwatta meriwayatkan: “Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah RA dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid), lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.” (Hadis Riwayat Malik)

Bukan itu sahaja, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, darah berwarna kuning atau keruh boleh dihukumkan sebagai haid jika ia keluar pada waktu kebiasaan datang bulan.

“Ia juga boleh dianggap haid apabila darah keluar bukan pada waktu kebiasaan haid, tetapi keluar pada waktu yang memungkinkan darah haid keluar,” terangnya.

Bagi darah berwarna sedemikian keluar bukan dalam tempoh haid atau selepas waktu maksimum haid atau pada tempoh suci, pejabat mufti itu menegaskan, ia tidak dianggap sebagai haid.

TEMPOH suci antara dua haid paling minimum ialah 15 hari berdasarkan kajian (istiqra’) daripada Imam Syafie. Setelah melepasi tempoh minimum suci, maka ia memungkinkan masuk tempoh kitaran haid baharu (imkan al-haid) seperti ilustrasi itu. -Foto: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
TEMPOH suci antara dua haid paling minimum ialah 15 hari berdasarkan kajian (istiqra’) daripada Imam Syafie. Setelah melepasi tempoh minimum suci, maka ia memungkinkan masuk tempoh kitaran haid baharu (imkan al-haid) seperti ilustrasi itu. -Foto: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis Umm A’tiyyah: “Kami tidak menganggap darah yang keruh dan kekuningan yang keluar selepas tempoh suci itu darah haid.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

“Kata Ibnu Ruslan ketika mensyarahkan hadis itu, yang dimaksudkan darah kuning dan keruh keluar pada hari-hari selain haid, ia tidak dianggap sebagai haid.

“Namun, apabila darah kuning dan keruh berlaku pada hari-hari haid, maka ia dikira sebagai datang bulan. Pandangan ini selari dengan kebanyakan ulama,” katanya.

Seperkara lagi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan, tempoh suci antara dua haid ialah 15 hari paling mininum berdasarkan kajian (istiqra’) daripada Imam Syafie.

“Selepas melepasi tempoh minimum suci, maka ia memungkinkan masuk tempoh kitaran haid baharu (imkan al-haid),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!