Juragan hilangkan diri di tengah pasar, tinggalkan petrol seludup

Tong berisi petrol ditinggalkan juragan bot selepas kegiatannya cuba menyeludup keluar bahan api tersebut dihidu PPM di perairan Pelabuhan Tawau.
Tong berisi petrol ditinggalkan juragan bot selepas kegiatannya cuba menyeludup keluar bahan api tersebut dihidu PPM di perairan Pelabuhan Tawau.
A
A
A

TAWAU - Tindakan seorang lelaki cuba menyeludup petrol ke negara jiran gagal apabila sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menghidu kegiatannya itu di kawasan perairan Pelabuhan Tawau di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, lelaki yang dipercayai sebagai juragan bot bertindak meninggalkan bot lajunya sebelum menghilangkan diri di tengah pasar awam di kawasan berhampiran.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, aktiviti itu berjaya dikesan ketika pasukannya melakukan Op Taring Gelora di kawasan tersebut dengan menggunakan bot ronda.

Pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan berjaya menemui beberapa tong disyaki berisi petrol.
Pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan berjaya menemui beberapa tong disyaki berisi petrol.

"Ketika rondaan dibuat terdapat sebuah bot laju dilihat dalam keadaan mencurigakan dari arah jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) lama menuju ke arah Pulau Sebatik.

"Bot ronda PPM cuba memintas bot laju tersebut namun gagal dan apabila juragan bot menyedari kehadiran PPM, dia bertindak berpatah balik ke jeti CIQ dan melarikan diri meninggalkan bot lajunya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, pasukannya cuba mengejar juragan tersebut tetap gagal selepas dia menghilangkan diri di kawasan Pasar Tawau.

"Pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan berjaya menemui beberapa tong disyaki berisi petrol.

"Sebanyak 1,350 liter petrol yang ditemui tiada sebarang permit daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kita percayai aktiviti ini merupakan cubaan untuk menyeludup ke negara jiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada penemuan itu, kesemua barang rampasan termasuk bot bernilai RM50,000 dibawa ke Pangkalan PPM untuk tindakan lanjut.

"Kes diserahkan kepada pegawai penyiasat KPDN Tawau dan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!