Kerjasama Malaysia, negara jiran banteras aktiviti penyeludupan

SHAH ALAM - Kerjasama antara Malaysia dan negara jiran amat penting bagi memantau serta mengawal aktiviti penyeludupan yang boleh mengundang berlakunya jenayah seperti rasuah.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, usaha bersama itu dapat mengekang aktiviti itu dengan lebih berkesan.
Menurutnya, kegiatan itu sering dianggap berisiko kecil jika dibandingkan dengan potensi keuntungan yang bakal diperoleh.
“Mereka yang terlibat dengan penyeludupan ini dapat mengelakkan bayaran cukai sekali gus meningkatkan keuntungan.
“Sejak dahulu amalan suapan kepada pihak berkuasa untuk meloloskan diri di sempadan negara sering dilaporkan hingga sedikit sebanyak menggugat tahap penguatkuasaan undang-undang negara.
“Kelemahan dalam tatakelola dan pengurusan yang tidak cekap telah memberi ruang kepada penyeludup untuk melepasi sempadan tanpa dikesan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan tangkapan kegiatan seludup haiwan bernilai lebih RM500,000 oleh Pasukan Gerakan AM (PGA) Briged Tenggara di Masjid Mukim Bakong, Pasir Mas.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan dan rampasan itu melibatkan lapan ekor lembu, empat ekor kerbau dan 40 ekor kambing dalam lori jenis Isuzu tanpa permit sah.
Dalam pada itu, Zainal Adnan menjelaskan, tanpa intervensi yang tegas terutamanya daripada pihak berkuasa akan mengundang berlakunya aktiviti penyeludupan dengan berleluasa.
“Orang ramai perlu sedar bahawa aktiviti penyeludupan membawa kesan buruk antaranya peningkatan masalah rasuah dan kerugian ekonomi negara.
“Jika tiada tindakan tegas diambil, aktiviti penyeludupan ini akan terus berleluasa hingga memberi kesan buruk kepada ekonomi serta meningkatkan masalah sosial dalam masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

