Pengalaman 'mahal' bermain lumpur sawah di Kampung Kayu Kelat

BESUT - Pengalaman bermain lumpur sawah di Kampung Kayu Kelat dekat Jertih, mungkin antara pengalaman 'mahal' bagi setiap pengunjung yang bertandang ke situ ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kayu Kelat, Mohd Yusoff Bidi berkata, keunikan yang terdapat di kampung berkenaan menawarkan suasana baharu sekali gus mendekatkan pengunjung dengan alam semula jadi.
Menurutnya, nama Kampung Kayu Kelat akan terus melekat di hati kebanyakan pengunjung kerana memberikan pengalaman pelancongan autentik melalui kebudayaan, warisan dan keindahan semula jadi.

"Kampung ini terletak berdekatan dengan sungai, ada bukit dan di tepi bukit pula ada sawah yang mana kita boleh 'memperkenalkan' keseronokan bermain lumpur sawah kepada pengunjung.
"Pelbagai aktiviti sukan dan riadah boleh dilakukan di sini secara bermusim kerana kita di sini ada sawah padi yang luas yang boleh dimanfaatkan untuk sebarang acara dan kegiatan.
"Kita boleh adakan pertandingan larian tarik upih iaitu melatih bawa beban di dalam lumpur bendang dan pertandingan menangkap ikan antaranya ikan puyu, keli, haruan dan sepat," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Keusahawanan Desa Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) ke kampung itu pada Isnin.
Program selama tiga hari bermula 11 Januari lalu dianjurkan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan (DEFSTRUM) dan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata).

Hadir sama, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah selaku Profesor Adjung UPNM; Penasihat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Pemata) yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Logistik Dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan (FPPP), Prof Dr Mohd Abdullah Jusoh serta pensyarah dan pegawai pengiring.

Pengerusi Homestay Kg Kayu Kelat, Roslan Bidi berkata, kampung yang berkeluasan kira-kira 2.5 kilometer persegi itu terletak kira-kira 7 kilometer (km) dari bandar Jertih dan 15km dari Pusat Pentadbiran Daerah Besut.
Katanya, lokasi itu kini dalam proses naik taraf bagi membina beberapa kemudahan baharu agar dapat dijadikan destinasi agropelancongan terkenal sekali gus menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.
"Kampung Kayu Kelat sedang menuju ke arah Agropelancongan di mana kita akan bangunkan infrastruktur tambahan selain 12 rumah inap desa sedia ada yang boleh memuatkan 40 pengunjung dalam satu-satu masa.
"Kita juga dalam proses membina sebuah pejabat sebagai pusat pentadbiran di sini, dengan adanya kemudahan tersebut ianya akan melancarkan lagi proses pengurusan kampung ini," ujarnya.
Beliau yang juga Penyelaras Program Keusahawanan pelajar UPNM berkata, pihaknya turut berbesar hati menerima kunjungan 29 pelajar universiti itu ke kampung tersebut.
"Tempoh tiga hari mereka berada di sini dimuatkan dengan pelbagai aktiviti menarik di mana golongan pelajar diperkenalkan dengan kawasan sawah yang ada di kampung ini.
"Selain menanam padi, pelbagai aktiviti bendang yang boleh dilaksanakan di samping mencungkil 'khazanah' dalam bendang yang boleh dijadikan sebagai hasil," ujarnya.
Selain itu, katanya, terdapat 12 produk industri kecil sederhana (IKS) diusahakan penduduk antaranya pembuatan telur masin, ikan pekasam, biskut bantal, air bunga telang, sabun kulit manggis, karipap mini, kuih simpul dan pelbagai lagi.
"Di samping itu, kita di sini juga memiliki pasukan dikir barat, Persatuan Muay Thai serta persatuan kesenian tradisional Melayu seperti wau dan gasing," kongsinya.

Sementara itu, peserta program, Nurulalyaafifi Ariffin, 24 berkata, program selama tiga hari itu memberikan pengalaman baharu yang sukar dilupakan.
"Banyak produk hasil IKS yang kami boleh pasarkan di universiti antaranya ubi tonyoh, ikan pekasam, telur masin dan sabun (kulit manggis, limau purut dan berasaskan tumbuhan).
"Rasa seronok dan teruja apabila dapat belajar kesenian dan kebudayaan tradisi penduduk kampung di sini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!