Perkasa keupayaan hospital kesan jangkitan Covid-19

Dua petugas KKM ketika melintasi bilik-bilik yang didiami pesakit di bawah pengawasan (PUS) ketika tinjauan khas di AKEPT yang menjadi Pusat Pemantauan. -Foto Bernama
Dua petugas KKM ketika melintasi bilik-bilik yang didiami pesakit di bawah pengawasan (PUS) ketika tinjauan khas di AKEPT yang menjadi Pusat Pemantauan. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam usaha menangani jangkitan koronavirus (Covid-19), lebih banyak hospital dan klinik kesihatan kerajaan terutamanya di luar bandar perlu diperkasakan keupayaannya untuk mengesan jangkitan, sekali gus mempercepatkan tapisan kesihatan.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, tindakan itu boleh dilakukan dengan membekalkan kemudahan ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19 bagi mengelak penularan penyakit berkenaan dalam jangka masa panjang dan mengurangkan risiko pesakit menjangkiti orang lain.

"Kita sekarang ini memfokuskan kepada bandar-bandar besar dan utama tetapi pesakit boleh juga muncul dari pekan terpencil. Doktor perlu menghantar sampel ke makmal terpilih dan menunggu keputusan.

"Pada masa yang sama pesakit boleh terus menjangkiti orang lain, termasuk doktor yang memberi rawatan awal. Jadi kalau ujian (kemudahan ujian) itu dapat dibekalkan kepada semua, cepatlah pengesanan agen jangkitan dilakukan," katanya kepada Bernama.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), setakat 16 Februari lepas, terdapat 18 makmal kesihatan awam bagi menjalankan ujian pengesanan Covid-19 di Malaysia, termasuk Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru, Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Makmal Kesihatan Awam Kota Bharu, Makmal Kesihatan Awam Ipoh dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh.

Selain itu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar; Hospital Pulau Pinang; Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban; Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru; Hospital Umum Sarawak; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Melaka.

Mengambil contoh kes lelaki tempatan berusia 31 tahun yang disahkan positif Covid-19 di Banting, Selangor pada 9 Februari lepas, Dr Sazaly berkata, pengesahan hanya dapat diketahui selepas pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Begitu juga katanya, sekiranya kes berlaku di pedalaman Sabah dan Sarawak, dengan negeri yang keluasannya besar dan makmal pengesanan hanya terletak di bandar utama, adalah sukar dan agak lambat untuk sesuatu kes jangkitan itu dikesan dan disahkan memandangkan masa lama yang terpaksa diambil untuk menghantar sampel klinikal.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini penyakit ini belum meruncing lagi, jadi kita masih terkawal. Jika sekiranya penyakit ini menular lebih daripada sekarang, kita kena buat kesiapsiagaan, perancangan kena ada," katanya.

Memuji usaha KKM dalam mengekang penularan penyakit itu, beliau berkata, aspek latihan perlu terus diberi penekanan terutama sekali dalam melatih doktor dan jururawat untuk mengambil sampel klinikal secara betul daripada pesakit bagi mengelak penularan wabak dalam kalangan sesama mereka dan pesakit lain.

Jelasnya, walaupun situasi jangkitan di negara ini masih terkawal buat masa ini, namun langkah itu perlu difikirkan segera kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menzahirkan kebimbangan penularan jangkitan sekunder atau pun dalam kalangan manusia ke manusia di dalam negara.

Sementara itu, Pakar Klinikal Virologi IMR, Dr Rozainanee Mohd Zain berkata, jumlah hospital dan makmal kesihatan awam dengan kemudahan ujian Covid-19 itu mampu memenuhi keperluan situasi penularan virus itu di Malaysia ketika ini.

Jelas Dr Rozainanee, Unit Virologi IMR telah melatih hospital dan makmal kesihatan awam terbabit bagi meningkatkan kapasiti makmal dalam menjalankan ujian tersebut.

"Secara keseluruhan, hospital dan makmal ini pernah dilatih untuk menjalankan ujian pengesahan bagi virus lain sebelum ini. KKM sentiasa memantau kes-kes positif Covid-19 dan mengambil kira semua aspek termasuk kapasiti menjalankan ujian pengesahan," katanya.

Dr Rozainanee berkata, buat masa ini, pihaknya belum mempunyai maklumat tentang makmal-makmal swasta yang mempunyai kapasiti menjalankan ujian itu.

Bagaimanapun katanya, makmal swasta yang berminat untuk menjalankan ujian pengesahan Covid-19, mereka boleh memaklumkan kepada KKM untuk tindakan lanjut.

IMR adalah makmal pertama di negara ini yang menjalankan diagnostik mengesan jangkitan itu dan telah membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan penularannya ke negara ini sejak 2 Januari lepas.

Makmal itu turut diiktiraf WHO sebagai makmal rujukan bagi penyakit Polio serta Influenza dan IMR turut melatih petugas 12 makmal hospital dan lima makmal kesihatan awam untuk menjalankan ujian pengesanan dengan keputusan ujian diketahui kurang 24 jam. - Bernama