Operasi Carilamat tiga nelayan hilang diperluas

ALOR SETAR - Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) tiga nelayan yang dilaporkan hilang di sekitar Pulau Payar sejak Jumaat lalu diteruskan pada Isnin.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, operasi masuk hari ketiga tersebut telah bermula pada jam 7.30 pagi.
Menurutnya, Carilamat melibatkan penggunaan aset udara dan sebuah kapal milik Maritim Malaysia, bot ronda milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta bot dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Pada hari ini sektor pencarian telah diperluas meliputi keluasan sejauh 371.28 batu nautika persegi," katanya pada Isnin.
Jelas beliau, identiti mangsa ketiga yang hilang bersama dua nelayan lagi telah dikenal pasti sebagai Mohamad Al-Amin Sufian berusia 29 tahun.
Pada hari kedua operasi pada Ahad, Carilamat tersebut telah ditangguhkan pada jam 7 petang selepas pencarian sejauh 51.48 batu nautika persegi tidak menemui sebarang petunjuk.
Sebelum ini, media melaporkan tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan rawai sejak petang Jumaat di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar.
Mereka dikenali Asrulhisham Zainon, 47, bersama anak bongsunya, Mohd Aiman, 16, dan pekerja dikenali, Mat Amin, 30-an.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, satu laporan berhubung kehilangan tiga individu tersebut telah diterima pihaknya.
Menurutnya, mangsa telah menaiki bot berasingan dengan kumpulan nelayan dari Jeti Batu Lintang Tikam Batu dan dijangka pulang pada jam 4 pagi pada Jumaat.
"Namun, mangsa telah memberitahu kepada kumpulan nelayan kerjanya belum selesai sebelum kumpulan nelayan itu pulang terlebih dahulu.
“Selepas itu, perhubungan mereka terputus di Pulau Payar. Ada kawan-kawan mangsa kesan lokasi terakhir mangsa masih di lokasi yang sama iaitu di pulau itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!