Ketulan emas berbentuk kentang tersembunyi dalam tanah

SYDNEY - Seorang lelaki di Australia mendapat durian runtuh selepas menemui ketulan emas gergasi berbentuk seakan-akan kentang.
Menurut media tempatan, lelaki itu yang merupakan pencari emas amatur telah menggali tanah di kawasan Mount Stuart Station berhampiran Tibooburra, sebuah pekan terpencil di barat laut jauh New South Wales.
"Hasil kesabarannya menggali tanah selama beberapa hari, lelaki itu akhirnya menemui ketulan emas berkenaan selepas melihat kilauan kecil pada permukaan tanah. Ia seberat hampir 1.2 kilogram dan mengandungi kira-kira 940 gram emas tulen," jelas laporan itu.
Pakar menganggarkan nilai ketulan emas yang diberi jolokan 'Tibooburra Spud' itu antara A$150,000 (RM430,620) hingga A$160,000 (RM460,000) berdasarkan beratnya semata-mata.
Nilainya berpotensi mencecah A$200,000 (RM574,160) jika dijual kepada pengumpul persendirian.
Rakaman memaparkan lelaki itu yang teruja ketika mengeluarkan ketulan emas tersebut dari dalam tanah turut tular di media sosial. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

