'Saya rasa mereka selamat' - Ahli keluarga nelayan hilang

Bot Kilat 6 milik Maritim Malaysia digunakan dari misi mencari tiga nelayan yang dikhuatiri hilang sejak Jumaat lalu di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar.
Bot Kilat 6 milik Maritim Malaysia digunakan dari misi mencari tiga nelayan yang dikhuatiri hilang sejak Jumaat lalu di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Ahli keluarga kepada nelayan yang dikhuatiri hilang selepas keluar melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan rawai sejak petang Jumaat di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar percaya mereka selamat.

Asmawadi Zainon, 43, berkata, mereka sekeluarga berharap abangnya, Asrulhisham Zainon, 47, bersama anak bongsu, Mohd Aiman, 16, dan pekerja, Mat Amin, 30-an ditemui dengan segera.

Menurutnya, dia telah menghubungi telefon bimbit Asrulhisham beberapa kali sejak Jumaat namun sehingga kini gagal.

“Saya rasakan mereka selamat. Kami sekeluarga berharap semoga operasi mencari dan menyelamat mereka bertiga dipermudahkan," katanya semasa dihubungi pada Ahad.

Jelas Asmawadi, laporan polis sudah dibuat selepas ketiga-tiga mangsa tidak pulang setelah keluar ke laut dengan menaiki bot milik abangnya itu.

Menurutnya, Asrulhisham adalah seorang nelayan yang berpengalaman dan mereka akan mengadakan bacaan Yasin di surau berhampiran rumah untuk mendoakan mereka bertiga agar pulang dengan selamat.

“Biasanya, dia akan pulang sekitar jam 3 pagi atau paling lewat jam 10 pagi selepas keluar ke laut. Tapi sejak Jumaat, saya tidak dapat hubunginya.

“Saya buat laporan polis di Balai Polis Tikam Batu kerana risau keselamatan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, satu laporan berhubung kehilangan tiga individu terbabit telah diterima pihaknya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa telah menaiki bot berasingan dengan kumpulan nelayan dari Jeti Batu Lintang Tikam Batu dan dijangka pulang pada jam 4 pagi pada Jumaat.

"Namun, mangsa telah memberitahu kepada kumpulan nelayan kerjanya belum selesai sebelum kumpulan nelayan itu pulang terlebih dahulu.

“Selepas itu, perhubungan mereka terputus di Pulau Payar. Ada kawan-kawan mangsa kesan lokasi terakhir mangsa masih di lokasi yang sama iaitu di pulau itu,” katanya.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan rawai sejak petang Jumaat.

Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) telah diaktifkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan bantuan aset daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada Sabtu.

Operasi tersebut diteruskan pada Ahad pada jam 7.30 pagi melibatkan keluasan sektor pencarian sejauh 51.48 batu nautika persegi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!