3 individu disambung reman kes rasuah lulus lesen kenderaan perdagangan

PUTRAJAYA - Dua pemilik syarikat serta seorang kakitangan sebuah agensi disambung reman tiga hari bagi siasatan berkaitan rasuah membabitkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) tanpa memenuhi syarat ditetapkan.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Syahrul Syazly Md Sain kepada tiga suspek terbabit yang berumur lingkungan 40 dan 50-an itu.
Perintah itu dikeluarkan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik tempoh reman asal terhadap suspek tamat pada Ahad.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek sebelum ini antara lapan individu ditahan Bahagian Perisikan SPRM menerusi Op Loader dijalankan pada Rabu sekitar Lembah Klang dan Melaka.
"Suspek dipercayai bersekongkol dengan syarikat-syarikat yang bertindak menyediakan maklumat palsu seperti penyata bank selain mengurus proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK) dan Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU).
"Tindakan itu dilakukan bagi membolehkan kenderaan perdagangan yang tidak layak menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom sebelum surat tawaran kelulusan LKP dikeluarkan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, risikan mendapati bayaran rasuah yang dikenakan antara RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis kenderaan dan usia kenderaan yang ingin memohon LKP terbabit.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

