Kerajaan tak pernah sorok Titah Adendum - PM

Anwar menyampaikan ucapan perasmian pada Program Muhibbah Madani anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di Bandar Perda pada Sabtu. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan perasmian pada Program Muhibbah Madani anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di Bandar Perda pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah menyorok Titah Adendum untuk membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya Anwar berkata, beliau antara individu awal membawa perkara tersebut di dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan berserta alasan-alasan pengampunan.

Menurut Anwar, pendirian beliau sebelum ini yang tidak mengulas isu tersebut kerana perkara berkenaan melibatkan Institusi Diraja.

"Saya sendiri yang membawa perkara ini semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan untuk memberikan pertimbangan dengan membawa hujah merangkumi laporan kesihatan, penjara, laporan polis sebelum ia diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong sama ada mahu menerima atau menolak permohonan tersebut.

"Saya bukan ahli (Lembaga Pengampunan), saya ahli sebelum 2023 kerana masa itu saya jalankan tugas Menteri Wilayah Persekutuan. Selepas itu, saya lantik Dr Zaliha (Dr Zaliha Mustafa), dia hadir saya tak hadir. Jadi keputusan itu dihantar kepada Ketua Pengarah Penjara dan itu hukumannya.

"Lepas itu Adendum (surat) disampaikan kepada Peguam Negara, bukan kepada saya dan bila Yang di-Pertuan Agong berganti diserah (Adendum) kepada istana negara kerana Agong yang pengerusikannya (Lembaga Pengampunan)... Itu keadaan dia, bukan kita sorok," katanya ketika berucap pada Program Muhibbah Madani 2025 di Bandar Perda pada Sabtu.

Dalam pada itu, Anwar menempelak sikap pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pas yang seolah-olah menyalahkan beliau berhubung isu Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri itu.

Anwar juga hairan mengapa beliau dipersalahkan sedangkan pernah membentangkan rayuan Najib ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Apa yang saya usahakan hanya bagi dia peluang buat rayuan dan dapat layanan yang baik di penjara... Itu saja.

Artikel Berkaitan:

"Ini ada orang kata Anwar harus ditangkap dan harus dihukum gantung. Inilah politik sekarang ini, saya tak ada masalah, tapi Pas sebelum ini punya hentam Najib dari rambut sampai kaki, sekarang ini junjung pula kerana politik," katanya.

Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan mengambil masa untuk mengiktiraf kewujudan Titah Adendum berkenaan kerana perlu berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah.

Pada Isnin lepas, Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!