Heret pihak sembunyi Titah Adendum ke muka pengadilan - Pas Pahang

Rosli
Rosli
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang mendesak agar pihak yang bertanggungjawab menyembunyikan Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa ke muka pengadilan.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, langkah itu penting demi memelihara kedaulatan Raja-Raja Melayu dan memastikan prinsip keadilan serta integriti terus ditegakkan.

"Kita akan terus mempertahankan kedaulatan Sultan Pahang dan memastikan titah baginda dihormati serta hak rakyat Malaysia dijaga," katanya pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur itu turut mengecam keras sebarang usaha menyembunyikan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Jelasnya, pengesahan kewujudan Titah Addendum berkenaan penahanan dalam rumah Najib itu membuktikan wujudnya usaha menyembunyikan titah baginda oleh pihak tertentu.

"Kami berasakan bahawa ini adalah satu pengkhianatan terhadap Sultan Pahang dan prinsip kesetiaan kepada raja dan negara.

"Setiap tindakan yang cuba mencemarkan kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu terutama melibatkan penyelewengan kuasa adalah satu tindakan yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja," katanya.

Isnin lalu, Najib berjaya mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah yang akan memaksa kerajaan atau enam pihak lain untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Addendum.

Titah addendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah berhubung kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!