X

Kindly register in order to view this article
!

Sumber air di Kedah, Pulau Pinang cukup: Exco

Zamri meninjau situasi semasa ampang jajar dekat Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda, Kampung Rantau Panjang di sini hari ini.
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan Pulau Pinang tidak perlu panik dengan isu bekalan air kerana sumber air dari Sungai Muda berada pada tahap terkawal dan mencukupi untuk negeri itu serta Kedah sehingga April depan.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Ir Zamri Yusof berkata, beliau yakin kapasiti air Sungai Muda setakat ini yang dikawal oleh Empangan Beris mampu memenuhi keperluan untuk kedua-dua negeri.

Menurutnya, paras air Empangan Beris berada pada tahap berjaga-jaga atau waspada iaitu 63 peratus di mana kawalan pelepasan air dibuat mengikut keperluan.

"Sejak 1 Januari hingga 13 Februari, kita sudah melepaskan air dengan jumlah sekitar 10,000 liter per saat dari Empangan Beris untuk tampung Sungai Muda bagi keperluan 700 juta liter sehari (mld) loji air di Kedah dan 1,100 mld untuk bekalkan air ke loji Pulau Pinang," katanya kepada media ketika melakukan lawatan ke Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) di Kampung Rantau Panjang di sini hari ini.

Taklimat diadakan di Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda di Kampung Rantau Panjang di sini hari ini.
Taklimat diadakan di Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda di Kampung Rantau Panjang di sini hari ini.

Zamri berkata, PLSM adalah pusat operasi yang penting dalam menguruskan air sepanjang Sungai Muda meliputi daerah Baling, Sik, Kulim dan Kuala Muda yang mana sungai berkenaan juga berfungsi membekalkan sumber air kepada pengguna sekitar Kedah Selatan dan Pulau Pinang.

"Alhamdulillah sejak pertengahan Februari, kita dah mula terima hujan di satu dua tempat selain pembenihan awan oleh Jabatan Meteorologi baru-baru ini membantu membekalkan air tambahan kepada empangan dan sungai," katanya

Dalam pada itu katanya, rakyat di kedua-dua negeri ini juga diharap bertenang dan tidak panik kerana bekalan sumber air masih mencukupi.

"Kita minta kerjasama semua pihak terutamanya Pulau Pinang supaya mengawal keadaan, tak perlu panik sebab kuantiti air di Empangan Beris ketika ini 63 peratus, jauh lebih cukup daripada apa kita perlu hingga April," katanya.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang mendakwa Empangan Muda di Kedah dilaporkan berada pada tahap kritikal iaitu 7.44 peratus daripada kapasiti keseluruhan iaitu 160 bilion sehingga dikhuatiri berlakunya krisis air di negeri itu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Paras-air-Empangan-Muda-kritikal


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!