X

Kindly register in order to view this article
!

Paras air Empangan Muda kritikal

Empangan Muda di Kedah mencatatkan peratusan kapasiti hanya 7.44 peratus.
A
A

GEORGETOWN - Paras air di Empangan Muda Kedah dilaporkan berada dalam keadaan kritikal iaitu 7.44 peratus daripada kapasiti keseluruhan iaitu 160 bilion liter.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, peratusan itu tidak mampu untuk menyokong paras Sungai Muda ketika musim kemarau yang berlaku kini.

Menurutnya, sehubungan itu, paras air Sungai Muda bergantung kepada hanya satu empangan di Kedah iaitu Empangan Beris yang berkapasiti 120 bilion liter.

"Kapasiti empangan ini dilaporkan 69.87 peratus pada 6 Februari lalu yang mana kita belum mendapat bacaan kapasitinya yang terbaru. Untuk mengekalkan paras Sungai Muda, Empangan Beris melepaskan kira-kira 864 juta liter air sehari (MLD).

"Sehingga semalam, paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang dilaporkan berada pada paras amaran 1.77 meter yang mana, paras normal sungai adalah 2 meter ke atas. Bagaimanapun sehingga hari ini, PBAPP masih mampu mengoptimumkan abstraksi air mentah dari Sungai Muda untuk proses rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, LRA Sungai Dua mengeluarkan lebih daripada 80 peratus air terawat untuk memenuhi permintaan di Pulau Pinang.

"Dalam keadaan yang berlaku sekarang ini, pembenihan awan untuk menghasilkan hujan di kawasan tadahan Empangan Beris, Empangan Muda serta lembangan Sungai Muda mesti diutamakan dan disegerakan oleh pihak berkuasa bersama agensi-agensi berkaitan.

"Adalah penting untuk memastikan simpanan air mentah Empangan Beris dapat bertahan sehingga musim hujan tiba kerana jika Empangan Beris tidak mempunyai air yang mencukupi untuk dilepaskan dan mengekalkan paras sungai Sungai Muda, krisis air dijangka akan berlaku di selatan Kedah dan Pulau Pinang," katanya.

Keadaan Empangan Muda di Kedah yang berada dalam keadaan kritikal.
Keadaan Empangan Muda di Kedah yang berada dalam keadaan kritikal.

Jaseni berkata, selain muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang, 14 loji rawatan air Kedah mengabstrak air dari Sungai Muda setiap hari untuk bekalan air di selatan Kedah.

"Kerajaan Kedah dan kerajaan Persekutuan perlu merumus pelan kontingensi untuk 'menyokong' atau 'melindungi' bekalan air di selatan Kedah dan Pulau Pinang sekiranya musim kemarau ini berlanjutan. Sementara itu, PBAPP mengambil langkah dengan melepaskan air dari simpanan strategik Empangan Mengkuang berkapasiti 73.5 bilion untuk mengimbangi abstraksi air mentah dari Sungai Muda.

"Sehingga semalam, kapasiti efektif Empangan Mengkuang adalah 72.8 peratus dan ia cukup untuk menyokong keperluan air mentah Pulau Pinang sehingga Julai 2020. Bagaimanapun, PBAPP hanya dapat melepaskan air maksimum 300 MLD dari Empangan Mengkuang yang mana, purata penggunaan air terawat harian di Pulau Pinang adalah 843 MLD pada tahun lalu," katanya.

Jaseni berkata, walaupun PBAPP mempunyai langkah selamat dari Empangan Mengkuang, kebergantungan kepada air mentah dari Sungai Muda sangat tinggi setiap hari.

Oleh demikian, pihaknya memohon agar tindakan segera diambil oleh kerajaan Kedah dan kerajaan Persekutuan untuk memastikan tiada catuan air di Pulau Pinang dan selatan Kedah pada tahun ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!