'Dakwaan terpaksa hidup di tapak pelupusan sampah aibkan kami'

Tangkap layar video penjelasan wakil masyarakat orang asli yang mencari rezeki tambahan di kawasan tapak pelupusan sampah berdekatan Bukit Ibam yang dikongsi melalui Facebook rasmi Menteri Besar.
Tangkap layar video penjelasan wakil masyarakat orang asli yang mencari rezeki tambahan di kawasan tapak pelupusan sampah berdekatan Bukit Ibam yang dikongsi melalui Facebook rasmi Menteri Besar.
A
A
A

KUANTAN- Penularan rakaman video dan beberapa gambar memaparkan sekumpulan orang asli didakwa terpaksa hidup di kawasan tapak pelupusan sampah berdekatan Bukit Ibam, Rompin tidak menggambarkan situasi sebenar kaum itu.

Kisah mereka sebelum ini disiarkan dalam sebuah portal didakwa tidak benar dan menyinggung serta mengaibkan.

Berdasarkan klip video yang dimuatnaik melalui Facebook rasmi Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail, seorang wakil orang asli tampil menjelaskan perkara sebenar.

Lelaki berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai Mahmud Mohd Dom berkata, laporan mereka yang kononnya terpaksa hidup dengan mengutip sampah amat memalukan dan menyifatkan ada pihak cuba mengaibkan mereka dan sengaja memburukkan kerajaan negeri.

"Semua yang dilaporkan tidak benar dan berniat jahat. Kami datang ke sini hanya untuk mencari rezeki tambahan dengan mengutip sampah yang boleh dikitar semula untuk dijual.

"Dakwaan kononnya kami terpaksa bergantung rezeki di tapak pelupusan sampah ini amat mengaibkan kerana pekerjaan itu hanya dilakukan untuk menambah pendapatan bagi menampung perbelanjaan keluarga," katanya.

Dia berkata, pendapatan hasil pekerjaan sedia ada tidak cukup namun tidak menyangka ada pula pihak mengambil kesempatan menyebar berita tidak tepat sehingga mengaibkan mereka.

Pejabat Menteri Besar Pahang dalam kenyataannya turut menafikan perkara itu termasuk dakwaan kononnya anak-anak orang asli itu turut dikerah mengutip sampah di tapak pelupusan tersebut.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak-orang-asli-tidak-dikerah-bekerja-di-tapak-pelupusan-sampah-MB