KPKT sasar lupus 300 tapak pembuangan sampah haram seluruh negara

Kor Ming (depan dua dari kiri) meninjau gerai penjaja di Pasar Awam Sekinchan pada Rabu.
Kor Ming (depan dua dari kiri) meninjau gerai penjaja di Pasar Awam Sekinchan pada Rabu.
A
A
A

SEKINCHAN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan untuk menutup 300 tapak sampah haram seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tapak sampah haram itu kebanyakannya terletak di kawasan perindustrian di Selangor.

Menurut beliau, penutupan tapak sampah haram itu sememangnya menjadi agenda beliau sejak dilantik menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan.

"Walaupun sasaran kita menutup 100 tapak sampah haram, tetapi kita berjaya melepasi sasaran dengan melupuskan 128 tapak di seluruh negara selepas 100 hari saya dilantik sebagai Menteri KPKT," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekinchan di sini pada Rabu.

Kor Ming berkata, kementeriannya tidak berkompromi soal kebersihan dan akan terus meningkatkan usaha membanteras tapak sampah haram.

"Usaha ini masih berjalan dan saya akan membuat pengumuman selepas kerja-kerja (penutupan sampah haram) selesai," ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, KPKT dan kerajaan negeri sedang berbincang bagi menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dalam menangani isu berkenaan.

Ditanya persediaan kementerian dalam menangani pembakaran secara terbuka, Kor Ming menjelaskan, semua rakyat di negara ini diminta menghentikan pembakaran sampah dan ranting pokok terutama dalam cuaca panas sekarang.

"Janganlah kita sekali menjadikan keadaan lebih teruk lagi dan adalah menjadi satu kesalahan apabila pembakaran sampah secara terbuka jika sabit kesalahan boleh dikompaun dan penjara, maka elakkan waktu kritikal (cuaca panas) seperti ini," kata beliau.

Selain itu, katanya, pasukan bomba juga dalam keadaan bersiap siaga dari segi aset dan logistik bagi menghadapi musim panas ini.

Beliau memberitahu, kerajaan di bawah Pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan sebanyak RM46.15 juta kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada tahun ini.

"Peruntukan tambahan ini diberikan bagi membeli peralatan dan perolehan supaya kesiapsiagaan bomba sentiasa berada pada tahap tertinggi," kata beliau.

Mengulas mengenai lawatannya ke Sekinchan, Kor Ming memberitahu, sebanyak RM2.25 juta diluluskan untuk menaik taraf dan penyelenggaraan beberapa projek di Sekinchan.

"Projek ini meliputi kerja menaik taraf longkang utama di Jalan Bernam, Pekan Sekinchan yang menelan belanja sebanyak RM800,000 dan pemasangan papan iklan LED di Pekan Sekinchan sebanyak RM290,000.

"Selain itu, projek menaik taraf bumbung gerai penjaja Pasar Awam Sekinchan pula sebanyak RM480,000 dan membaik pulih dan membina infrastruktur di enam kampung baru Cina di sekitar kawasan Sekinchan dengan peruntukan sebanyak RM953,000," ujar beliau.