Stor simpan khemah jadi transit jual mesin judi
SEREMBAN - Berselindung di sebalik perniagaan khemah, sebuah stor di Kampung Baru Rasah di sini dikesan dijadikan transit menjual mesin judi mudah alih.
Bagaimanapun kegiatan tersebut terbongkar selepas serbuan dan pemeriksaan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada Selasa, jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, serbuan itu susulan risikan pihaknya sejak dua minggu lalu.
"Pemeriksaan di premis telah merampas 140 unit mesin slot, 83 unit mesin tembak ikan dan sebuah mesin 'street fighter' dipercayai peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM560,000, " katanya ketika sidang akhbar di IPD Seremban pada Rabu.
Menurutnya, kesemua mesin tersebut dipercayai telah pun ada pembeli dan setiap unit dijual pada harga antara RM2,000 ke RM2,500.
Tambahnya, pihaknya mengesyaki stor tersebut dijadikan transit untuk penjualan mesin judi mudah alih yang dipercayai dari China.
"Stor tersebut dipenuhi dengan khemah, tetapi pada masa sama ambil kesempatan jual mesin judi yang diiklankan dalam talian.
"Kita masih menyiasat pembelinya daripada mana tapi kita percaya ia untuk tujuan sindiket perjudian dalam talian," katanya.
Selain itu katanya, tiga lelaki termasuk seorang warga China berusia lingkungan 30-an yang disyaki pekerja di premis tersebut telah ditahan.
Mohamad Hatta berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4B (b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963.
"Sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 bagi tiap-tiap mesin perjudian yang disita dan penjara bagi tempoh tidak melebihi lima tahun.
"Kesemua tangkapan telah direman dan barang rampasan telah disita untuk siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!