1,369 serbuan kes judi di Perak

IPOH - Sebanyak 1,369 serbuan membabitkan 1,652 tangkapan dilakukan Polis Perak menerusi Op Dadu berkaitan aktiviti perjudian sepanjang tempoh 11 bulan tahun ini.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, hasil serbuan dijalankan itu berjaya merampas 1,022 unit peranti elektronik dan wang tunai berjumlah RM272,296.
Menurutnya, kegiatan loteri awam tanpa lesen menyumbang kepada serbuan tertinggi iaitu 955 kes dengan tangkapan 958 individu diikuti judi dalam talian sebanyak 219 serbuan dan 232 tangkapan.
"Kegiatan judi catat taruh haram pula merekodkan 150 serbuan dengan tangkapan 183 individu manakala judi luar bangunan (29 serbuan, 167 tangkapan) dan judi dalam bangunan (17 serbuan, 112 tangkapan)," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 1,377 kertas siasatan berkaitan kes perjudian ini telah dibuka.
"Daripada jumlah itu, 975 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah, 131 kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut sementara 271 lagi masih dalam tindakan," katanya.
Zulkafli berkata, selain tindakan penguatkuasaan undang-undang, polis turut mengambil tindakan pencegahan proaktif bersama agensi dan jabatan kerajaan termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Katanya, daripada 91 permohonan pembatalan lesen premis perniagaan dihantar kepada PBT, sebanyak 14 lesen telah dibatalkan dan 77 lagi masih menunggu maklum balas.
"Permohonan pemotongan bekalan elektrik juga telah diedar kepada TNB di bawah Seksyen 21(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 melibatkan 67 premis.
"Polis Perak turut mengemukakan 46 permohonan sekatan laman web kepada SKMM dan setakat ini masih menunggu maklum balas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

