Paras air susut, penyeludup jalan kaki seberang Sungai Golok

Sungai Golok - Foto 123RF
Sungai Golok - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Paras Sungai Golok yang semakin cetek berikutan cuaca panas memudahkan penyeludup di Thailand dan Malaysia melakukan kegiatan menyeludup barangan runcit di kedua-dua negara.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sazali Muhamad berkata, ada penyeludup yang hanya berjalan kaki untuk menyeberang sungai kerana penyusutan ketara paras air.

Beliau memberitahu, pihak keselamatan juga mengesan beberapa pangkalan haram baharu dan ada yang sudah berubah.

"Bagaimanapun penguat kuasa Kastam sentiasa memantau dan bertindak menahan penyeludup terbabit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bertemu Pelanggan dan Sambutan Aidilfitri Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada Selasa.

Sazali (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama kakitangan Kastam Kelantan pada Majlis Bertemu Pelanggan dan Sambutan Aidilfitri Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada Selasa.
Sazali (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama kakitangan Kastam Kelantan pada Majlis Bertemu Pelanggan dan Sambutan Aidilfitri Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Kastam negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long.

Sazali memberitahu, antara barang yang kerap dirampas ialah barangan larangan bersyarat seperti sosej dan mi segera.

Menurut beliau, Kastam melalui Unit Dron jabatan itu menggunakan peralatan berkenaan sebagai usaha meningkatkan pemantauan.

"Jelasnya, Kastam Kelantan mungkin menambah dua lagi dron bagi membolehkan operasi di kawasan tertentu dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.

Sazali sebelum itu melawat reruai pelbagai jenis makanan yang disediakan sempena majlis hari raya itu.