Peguam Paul Yong tarik semula rayuan

Paul Yong (kiri) bersama Cheok Keng tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Paul Yong (kiri) bersama Cheok Keng tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini membenarkan pihak pembelaan kes rogol membabitkan Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong menarik semula permohonan rayuan menangguhkan keputusan Mahkamah Sesyen Ipoh pada 5 Disember 2019.

Peguam, Leong Cheok Keng berkata, permohonan penangguhan sebelum ini dibuat bagi menunggu keputusan Mahkamah Rayuan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

"Bagaimanapun rayuan hari ini tidak relevan kerana Mahkamah Rayuan telah didengar pada 10 Februari lalu. Oleh itu rayuan hari ini tidak lagi relevan.

"Keputusan ini juga tidak ada bantahan daripada pihak pendakwaan," katanya yang ditemui media di luar mahkamah hari ini.

Paul Yong dalam pada itu turut hadir mendengar keputusan yang dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Anselm Charles Fernandis.

Pada 5 Disember lalu, Mahkamah Sesyen Ipoh menolak permohonan menangguh kes dan menetapkan tarikh prosiding tersebut bermula 10 hingga 14 Februari 2020.

Bagaimanapun pihak pembelaan memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Sesyen tersebut selepas permintaan meminda tarikh prosiding ke Mac 2020 ditolak.

Isnin lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 menolak rayuan Paul Yong untuk memindahkan kes rogolnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan Exco Perak pindah kes rogol

Pada 23 Ogos lalu, Paul Yong, 50, mengaku tidak bersalah merogol pembantu rumahnya, warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu.