X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah tolak permohonan Exco Perak pindah kes rogol

Paul Yong
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Perak, Paul Yong Choo Kiong untuk memindahkan perbicaraan kes rogol dihadapinya daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim dengan Hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Seri Kamaludin Md Said memutuskan untuk menolak permohonan itu manakala Hakim Datuk Rhodzariah Bujang menentang keputusan itu.

Dalam keputusan majoriti itu, Hakim Yaacob berkata, mereka berpandangan tidak wujud kekhilafan di pihak Pesuruhjaya Kehakiman yang tidak membenarkan permohonan Yong untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Susulan itu, beliau mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 November tahun lepas yang menolak permohonan Yong untuk memindahkan kesnya itu mengikut Seksyen 417, Kanun Acara Jenayah.

Paul Yong, 50, yang merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh, Perak terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berumur 23 tahun.

Paul Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dituduh melakukan kesalahan itu di kediamannya di Meru Desa Park pada 7 Julai tahun lepas antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Paul berhujah kes itu patut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi disebabkan kes itu melibatkan persoalan undang-undang yang sukar berkaitan Akta Perlindungan Saksi 2009 yang tidak pernah digunakan dalam kes kesalahan seksual.

Beliau berkata, ia juga merupakan kes kepentingan awam kerana anak guamnya ialah Exco kerajaan negeri dan ADUN.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, pihak pendakwaan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan perkara itu.

Di luar mahkamah, Rajpal Singh memberitahu media yang pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Rajpal Singh yang dibantu peguam Salim Bashir juga berkata, pihak pembelaan akan memohon perbicaraan esok di Mahkamah Sesyen Ipoh ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan diputuskan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Perbicaraan kes rogol Paul Yong ditangguh lagi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!