Mayat bayi tanpa kepala, satu tangan ditemukan dalam longkang belakang rumah

HULU TERENGGANU – Penemuan mayat bayi dalam keadaan mencurigakan di dalam longkang di Kawasan Perumahan Padang Setengge di sini pada Jumaat menggemparkan penduduk setempat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu menerima panggilan daripada seorang lelaki jam 6.52 petang yang memaklumkan mengenai penemuan tersebut.
Menurutnya, mayat bayi berkenaan dijumpai oleh seorang wanita ketika sedang membasuh pakaian di belakang rumahnya.
"Siasatan mendapati pengadu sedang membasuh pakaian telah menjumpai bayi di dalam longkang di belakang rumah sebelum memaklumkan perkara itu kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perumahan Padang Setengge.
"Bayi berkenaan ketika dijumpai hanya terdapat satu bahagian tangan dan dua belah bahagian kaki, manakala jantina serta warganegara mangsa masih belum dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Sharudin berkata, kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.
Beliau menambah, pihak polis telah memohon bantuan Unit Forensik D10 dan K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bagi menjalankan siasatan serta mengumpulkan keterangan di tempat kejadian.
"Selain itu, pihak Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah telah dimaklumkan untuk proses bedah siasat ke atas mayat bayi tersebut.
"Motif kejadian masih dalam siasatan. Setakat ini belum ada tangkapan dibuat berhubung kes ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

