Covid-19: Malaysia bersedia hadapi sebarang kemungkinan

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) bersama timbalannya Dr Lee Boon Chye ketika sidang media mengenai situasi terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.-Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) bersama timbalannya Dr Lee Boon Chye ketika sidang media mengenai situasi terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.-Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan berikutan amaran dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak koronavirus (Covid-19) dijangka tersebar dengan lebih meluas di rantau ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pada peringkat ini, wabak itu ditangani oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Situasi negara sekarang tidak berada dalam keadaan yang disebutkan oleh WHO. Sekiranya berada di tahap itu, kita bersedia menanganinya," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan mempunyai keupayaan dalam pengurusan menangani pengesanan dan pengesahan ujian sampel Covid-19 di 18 makmal awam.

"Sementara itu, lima lagi makmal ditangani oleh pihak swasta. Jadi jumlah keseluruhan 23 makmal," katanya.

Beliau berkata, KKM telah menjalankan 550 ujian terhadap sampel yang diambil daripada kontak rapat kes positif wabak itu termasuk yang bergejala.

"Daripada jumlah itu, hanya 18 saja didapati positif," katanya.

Terdahulu, Pengarah WHO Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai memberi amaran kepada Malaysia dan negara serantau bahawa virus itu ketika ini berada 'di persimpangan yang kritikal’ kerana sudah terdapat kes positif Covid-19 yang langsung tiada hubungan dengan China.

Artikel Berkaitan:

WHO turut menyarankan agar kerajaan bersedia untuk penutupan sekolah atau menunda sebarang perhimpunan awam bagi mengurangkan penyebaran virus berkenaan.

Mengulas mengenai saranan penutupan sekolah dan tunda perjumpaan awam tersebut, Dr Dzulkefly berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

"Kerajaan akan sentiasa menyemak dan menilai situasi semasa dan ia akan menjadi tanggungjawab untuk mengkaji semula tindakan mengikut perkembangan terkini," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini wabak berkenaan, Dr Dzulkefly berkata, tiada kes baharu dicatatkan.

"Setakat ini kes positif kekal 18," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Covid-19: WHO beri amaran kepada Malaysia dan negara serantau