Berhentilah bermain politik: Tok Mat

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kekesalannya berhubung tahap permainan politik (politiking) yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

Beliau berkata, kebelakangan ini negara menyaksikan terlalu banyak politiking sehingga terlupa bahawa negara ini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang genting.

"Malaysia sebenarnya berhadapan dengan dua krisis besar. Pertama, kita seperti tiada pelan ekonomi yang kalis krisis.

"Kedua, kita tiada pasukan ekonomi yang benar-benar punya wibawa untuk merangsang ekonominya.

"Berhentilah politiking. Malaysia memerlukan penyelesaian pelbagai masalahnya dan ia ada pada kita semua, bukan hanya pada sebahagian daripada kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, setakat ini, Dasar Kemakmuran Bersama belum menampakkan pelaksanaan dengan agenda yang praktikal dan merangsang pertumbuhan.

"Malaysia yang sebenarnya memerlukan 'undi percaya' itu. Jika Malaysia gagal dalam menangani krisis keyakinan terhadap kemampuannya, Malaysia akan terus menjadi negara membangun yang biasa-biasa," katanya.

Reaksi Mohamad itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Pas yang menyatakan rancangan untuk membawa usul undi percaya bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Dewan Rakyat bersidang minggu depan.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya benar, Mohamad bukanlah pemimpin UMNO yang pertama memberikan pandangan yang dilihat tidak menyokong rancangan parti berkenaan.

Sabtu lalu, ketika mengulas cadangan undi percaya oleh Pas itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dilapor berkata, partinya tidak perlu 'menjaga tepi kain' dengan masalah Pakatan Harapan (PH).

ARTIKEL BERKAITAN: Pas konsisten sokong Tun M, UMNO enggan campur tangan

Cadangan Pas itu timbul ketika spekulasi untuk mewujudkan pakatan baharu dikatakan membabitkan UMNO, Pas dan turut disertai parti yang berada dalam PH sebagai Pakatan Nasional.

Mengulas lanjut, Mohamad mengingatkan bahawa Malaysia memerlukan pelan radikal untuk menangani kemampanan ekonomi, lebih-lebih lagi dengan penularan wabak koronavirus.

Ini katanya, akan memberi kesan sangat besar serta melembapkan ekonomi dunia pada skala yang tidak pernah terjangka sebelum ini.

"Pertumbuhan ekonomi kita akan perlahan dan pelbagai sektor akan menghadapi tekanan terutama sekali sektor pelancongan dan perkhidmatan," katanya.

Beliau turut membangkitkan kekeruhan hubungan Malaysia dengan India kerana pendirian negara dalam isu Kashmir, selain menyatakan Pakistan yang berjanji membantu Malaysia dalam produk sawit tidak boleh menjadi galang ganti India sebagai rakan dagang negara.

Katanya, harga minyak global juga akan kekal rendah, selain pelabur akan mengambil sikap 'sangat berhati-hati' kerana kurangnya keyakinan terhadap kestabilan politik Malaysia dalam jangka masa sederhana dan panjang.