Pas diramal perintah Malaysia tak lama lagi

Mokhtar
Mokhtar
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mokhtar Senik mendakwa Pas diramal akan memerintah Malaysia tidak lama lagi.

Menurut laporan portal Malaysiakini, Mokhtar berkata, beliau yakin perkara itu akan berlaku berdasarkan perkembangan politik Malaysia ketika ini.

Beliau juga menyindir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin yang berpandangan bahawa tidak pernah berlaku dalam sejarah ada pembangkang membawa usul percaya kepada perdana menteri.

"Peguam yang dua kali tumbang cakap, tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia pembangkang bawa usul percaya kepada ketua kerajaan.

"Betul, memang tak pernah berlaku. Begitulah sejak akhir-akhir ini, memang banyak perkara yang tak pernah berlaku tapi berlaku sejak PH memerintah.

"Tapi saya nak beritahu kamu ada satu lagi perkara yang tak pernah berlaku sebelum ini yang akan berlaku sedikit masa lagi iaitu Pas memerintah Malaysia," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya petang tadi.

Pas baru-baru ini membayangkan mahu menjalin kerjasama dengan beberapa parti komponen PH sekali gus dilihat bakal membuka pintu kepada wujudnya wakil parti tersebut dalam kerajaan.

Berdasarkan bayangan itu, kerjasama itu akan dibentuk menerusi pakatan Pas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama UMNO dan sebahagian ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak condong kepada presiden parti itu sendiri yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Pas kemudian tampil dengan cadangan untuk membawa usul percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Kelmarin, Dr Mahathir dilapor berkata, beliau akan mengotakan janji menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar tetapi keputusan muktamad terletak pada Dewan Rakyat.

Mokhtar yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pahang juga menempelak Parti Amanah Negara (Amanah) yang menjadi antara seteru utama Pas.

Katanya, wakil rakyat dan ahli Amanah melompat dengan cadangan untuk membawa usul percaya kepada Dr Mahathir.